Sekilas
- 50 peratus tiket konsert Wali Live In JB habis dijual dalam masa dua jam selepas jualan dibuka, menunjukkan sambutan hangat peminat di Malaysia.
- Wali Band sedang mengadakan jelajah di Malaysia dengan persembahan di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, dan akan berakhir di Johor Bahru pada 3 Oktober.
- Konsert di Johor Bahru dijangka memberi impak positif kepada pelancongan tempatan dan menawarkan pengalaman muzik bertaraf antarabangsa dengan lagu-lagu hit popular.
Fenomena Wali Band di Malaysia terus membara apabila sebanyak 50 peratus tiket konsert Wali Live In JB habis dijual hanya dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka semalam.
Sambutan luar biasa itu membuktikan kumpulan popular dari Indonesia tersebut masih mempunyai kelompok peminat yang besar di negara ini meskipun sudah lebih 25 tahun mewarnai industri muzik Nusantara.
Menurut vokalisnya, Faank, jelajah kali ini cukup istimewa kerana memberi peluang kepada mereka bertemu peminat di beberapa lokasi berbeza di Malaysia.
“Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa.
“Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia.
“Sebelum ini kami berpeluang bertemu peminat di Kota Kinabalu, kemudian Kuala Lumpur dan kini kami akan mengakhiri perjalanan ini bersama peminat di Johor Bahru,” katanya.
Tambah Faank, kasih sayang yang diberikan peminat Malaysia menjadi antara sebab utama Wali Band sentiasa rindu untuk kembali membuat persembahan di negara ini.
“Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia.
“Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wali Band menjanjikan persembahan istimewa buat peminat Johor Bahru termasuk beberapa kejutan yang disimpan khas.
“Kami sedang menyiapkan sebuah persembahan yang istimewa untuk Johor Bahru.
“Sudah tentu lagu-lagu yang paling dirindui peminat akan kami bawakan dan mungkin juga ada beberapa kejutan yang kami simpan khas untuk malam itu,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur berkata pemilihan Johor Bahru dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik kerana mampu menghimpunkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam satu lokasi.
Konsert tersebut dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan selain menawarkan pengalaman persembahan bertaraf antarabangsa menerusi sistem audio berkualiti serta rangkaian lagu hit seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang dan Aku Bukan Bang Toyib.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 3 Oktober depan, melengkapkan siri jelajah Wali Band di Malaysia selepas Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM88 hingga RM1,188 dan boleh didapati menerusi platform MyTicket.