Skip to main content

Selebriti

58 Tahun Bersama, Ziana Gambarkan Kisah Cinta Arwah Ibu & Bapa Umpama Filem Cinta - “Selepas Abah Pergi, Mak Cuba Sembunyikan Kesedihan Namun…”

Ziana Zain kisah cinta ibu

Sekilas

  • Ziana Zain berkongsi kisah pemergian ibunya, Allahyarham Robiah Abdul, yang meninggal dunia selepas empat bulan kehilangan suami tercinta, menggambarkan mereka sebagai pasangan sehidup semati.
  • Sebelum meninggal, arwah ibunya berpesan agar dikebumikan berhampiran kediaman mereka dan mengingatkan adik-beradik supaya sentiasa bersatu padu.

Penyanyi, Ziana Zain menggambarkan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Robiah Abdul, 74, yang menyusul selepas empat bulan pemergian bapanya Allahyarham Zain@Zin Abdullah, 87, pada Ogos lalu sebagai pasangan sehidup semati.

Menurut Ziana, sudah 58 tahun hidup bersama, sudah pasti tidak mudah untuk arwah ibunya melupakan lelaki yang pernah menjadi tempat bergantung selama hampir enam dekad.

"Mungkin sebab arwah emak sedih dan kemurungan selepas abah pergi, jadi penyakit kanser yang dihidapi lagi cepat menyerang.

“Mereka dah berkahwin 58 tahun, jadi arwah abah itu adalah segala-galanya buat mak kerana itulah dunia dia.

"Selepas pemergian abah, walaupun emak berusaha sembunyikan kesedihan tapi saya tahu mak sebenarnya sangat 'down'.

“Emak memang pernah cakap dia dah tak ada apa selepas abah pergi, sementara kami adik-beradik pula dah ada kehidupan masing-masing bersama anak-anak dan pasangan.

"Bila tengok kisah hidup emak dengan abah, saya rasa seperti menonton filem cinta, inilah yang orang katakan sehidup semati dan cinta abadi.

“Tak banyak pasangan ada cinta seperti itu, lebih-lebih lagi cinta sejati dalam kalangan orang muda yang dah kian berkurangan," ujarnya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Jelas Ziana lagi, ibunya tidak meminta apa-apa sebelum pergi tetapi ada berpesan kepada mereka adik-beradik untuk mengebumikannya di tanah perkuburan yang berdekatan dengan kediaman mereka.

"Sebelum pergi, emak tak ada cakap apa-apa cuma ada berpesan sekiranya dia meninggal, mak minta kami kebumikan mak berhampiran dengan tempat tinggal kami. Mak kata jangan susah-susah bawa balik Melaka.

"Selain itu, mak juga berpesan supaya kami adik beradik tidak berpecah. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Jadi saya cakap pada mak, insya-Allah saya akan cuba pegang kata-katanya itu," ujarnya.

Allahyarham meninggal dunia malam tadi selepas setahun disahkan menghidap kanser hati. Robiah meninggalkan lima cahaya mata termasuk penyanyi popular Anuar Zain serta 13 cucu.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement