Sekilas
- Pelakon Julia Farhana Marin mengesahkan dia dan Dr Che Muhammad Hafiz masih suami isteri yang sah tetapi sedang dalam proses memfailkan perceraian.
- Julia sudah tujuh bulan tidak bertemu suaminya dan berharap proses perceraian dapat diselesaikan dengan kerjasama dari pihak suami.
- Julia memilih untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai kehidupan peribadinya demi mengelakkan salah faham dan masalah di masa hadapan.
Pelakon Julia Farhana Marin mendedahkan status dia dan Dr Che Muhammad Hafiz masih suami isteri yang sah namun kini dalam proses memfailkan perceraian tidak lama lagi.
Sudah tujuh bulan tidak bertemu dan duduk berasingan, Julia bagaimanapun berharap suaminya akan memberi kerjasama dalam proses perceraian.
“Saya dah tak jumpa dia selama tujuh bulan. Tapi saya dah berpisah dengan dia dah hampir setahun. Saya akan memfailkan perceraian. Masih dalam proses sebab urusan surat-menyurat banyak dan saya pula tiba-tiba sibuk berlakon. Tapi status kami masih suami isteri.
“Saya cuma harap sangat benda ni akan selesai secepat mungkin sebab tak nak menimbulkan salah faham untuk diri saya dan untuk orang itu juga. Saya juga berharap dia akan bagi kerjasama yang baik supaya saya boleh teruskan hidup,” katanya kepada Gempak.
Julia berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara Sidang Media Astro 30 “Thank You Malaysia” di TGV Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Julia memilih untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai kehidupan peribadinya kerana tidak mahu menimbulkan masalah atau salah faham di masa akan datang.
“Sesuatu telah berlaku dalam kehidupan peribadi saya, yang saya rasa tak adil untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi ia mengenai perkahwinan saya dan saya rasa semua orang tahu setakat ini yang saya sedang melalui sesuatu dalam perkahwinan.
“Tak adil untuk saya cakap apa-apa sebab perkahwinan adalah satu institusi yang melibatkan dua orang. Jadi saya tetap dengan pendirian saya tak nak cerita apa-apa atau tak nak buka apa-apa cerita sebab ia akan membawa kepada masalah yang tak perlu ataupun pertikaian yang tak
perlu,” ujarnya.
Untuk rekod, Julia mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Hafiz pada 14 Disember 2022.