Skip to main content

Hiburan

7 Tahun Pujuk, Akhirnya Sweet Qismina Bagi Adam Lee ‘Green Light’ Sertai Pertandingan Muay Thai - “Sebagai Isteri, Tugas Saya…”

Sweet Qismina

Sekilas

  • Sweet Qismina menyokong penuh suaminya, Adam Lee, yang akan menyertai pertandingan Muay Thai pada 28 Disember ini walaupun sedar risiko yang terlibat.
  • Adam yang mempunyai minat mendalam dalam Muay Thai sejak sekolah, mendapat keizinan dan sokongan isterinya sebelum menerima tawaran pertandingan tersebut.
  • Sweet percaya perkahwinan mereka kukuh dengan kepercayaan antara suami isteri dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Adam sepanjang latihan intensifnya.

Meskipun sedar akan risiko pertandingan Muay Thai yang bakal disertai suami, Adam Lee pada 28 Disember depan, pelakon, Sweet Qismina tetap menyokong penuh keinginan suaminya untuk menyertai pertandingan itu.

Menurut Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, dia juga tidak mahu mengongkong Adam yang memang mempunyai minat mendalam terhadap sukan itu sejak di bangku sekolah.

“Tujuh tahun perkenalan, dan tujuh tahun juga dia pujuk saya. Adam memang mempunyai latar belakang Muay Thai sejak muda, daripada zaman dia habis sekolah lagi.

“Ketika di sekolah, dia memang aktif dalam sukan tersebut dan pernah menyertai pertandingan. Jadi apabila dia bertemu dengan saya yang lebih lembut dan gemalai, pada awalnya saya tak nak.

“Tetapi saya bukanlah seorang isteri yang suka kongkong suami. Daripada mengongkong, lebih baik saya menyokong sebab saya percaya itu adalah impian dia.

“Dia memang benar-benar mahu. Maka, sebagai seorang isteri, tugas saya adalah memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuknya, bukan menghalang,’ katanya kepada Gempak.

Bercerita lanjut, Sweet memaklumkan meskipun teruja mendapat tawaran untuk menyertai pertandingan itu namun, Adam tetap meminta pandangan dan keizinan daripada dirinya terlebih dahulu.

“Apabila dia mendapat tawaran untuk menyertai pertandingan tersebut, reaksinya sangat teruja dan gembira. Perkara pertama yang dia buat adalah dengan bertanyakan pendapat saya dulu.

"Dia berkata, ‘Sayang, boleh tak saya buat semua ini?’ Dia memang nak, jadi saya tidak sampai hati untuk menidakkan hasrat tersebut. Dia sangat bahagia dengan peluang yang diterima,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Babah ini percaya bahawa setiap perkahwinan itu akan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT jika ia dibina dengan teras kepercayaan antara suami dan isteri.

“Kami percaya bahawa apabila suami isteri saling mempercayai, Allah akan menjaga kami sebaik mungkin. Jadi, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik dan berharap tiada perkara buruk berlaku.

“Setakat ini, dia memang kerap menjalani latihan. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pertandingan.

“Latihannya semakin intensif termasuk latihan Muay Thai, angkat berat, hyrox, bermain pickleball dan berjoging. Semua aktiviti yang diminatinya, dia lakukan dengan penuh disiplin,” ujarnya.

Must-Watch Video

Advertisement