Pelakon Amir Raja Lawak, 36, meluahkan rasa sedih apabila masih belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal sehingga bapanya, Azmi Deris, 67, meninggal dunia pada malam Isnin di Hospital Pakar USM Kubang Kerian Kelantan.
Menurut Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, sebelum ini beliau sangat terdesak untuk mendapatkan baki bayaran tersebut sebanyak RM18,000 bagi membiayai kos rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
Advertisement
"Perjuangan untuk dapatkan duit itu setakat ini saya belum dapat apa-apa daripada pihak berkenaan.
"Tindakan selepas ini, saya tidak ada fikir apa-apa lagi. Biarlah dulu, harap bayarlah. Kerana sebelum ini saya terdesak untuk kegunaan abah, beli katil dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun memberitahu beliau bersyukur kerana ramai pihak tampil meringankan bebannya dan keluarga.
Ujar beliau, antaranya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, kepimpinan tempatan dan ramai lagi.
Amir berkata, sepatutnya pada hari ini (Selasa) beliau perlu menghadiri sidang akhbar Muzikal Lawak Super Star jam 2 petang di Kuala Lumpur.
"Saya juga mendapat tawaran berlakon filem bersama Prof A.Razak Mohaideen.
"Walaupun begitu, saya akan tetap tinggal di Kelantan dan berulang alik ke Kuala Lumpur jika ada peluang pekerjaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, arwah bapanya meninggal dunia pada jam 10.52 malam di Hospital Pakar USM Kubang Kerian disamping semua ahli keluarga.
Tambahnya, solat jenazah diadakan jam 9.15 pagi dan selamat dikebumikan sekitar jam 10.15 pagi.
Menurut Amir, sebagai anak beliau berpuas hati dapat menjaga bapanya yang diuji dengan kanser usus tahap empat dengan sebaik mungkin.
"Sebelum akhir hayatnya, abah ada minta hendak makan nasi kerabu, saya tunaikan walaupun dia hanya makan sesuap dua sahaja.
"Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, terima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Amir Raja Lawak terpaksa ‘mencairkan’ salah satu aset miliknya, iaitu sebuah kereta jenis Proton Juara bagi mendapatkan wang segera susulan masih belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal.
Sumber: Sinar Harian