Sekilas
- Pelakon dan pelawak Cik Man, 67, meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat masalah saluran jantung tersumbat.
- Issey, pelawak dan penyampai radio, berkongsi kesedihan di Instagram kerana menganggap arwah seperti abang sendiri dan tidak dapat berjumpa kerana berada di Bandung, Indonesia.
- Anak arwah, Fakhrol Aliff, mengesahkan Cik Man sempat mengadu sakit perut sebelum ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelum meninggal.
Pelawak dan penyampai radio Issey turut berkongsi berita duka mengenai pemergian pelakon Allahyarham Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 67, yang meninggal dunia sebentar tadi.
Menerusi hantaran di Instagram, Issey meluahkan rasa sedih atas pemergian arwah yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri.
“Allahuakbar. Sebak dan luluhnya rasa. Seniman yang saya sayang, yang rapat dengan kami, macam abang sendiri sudah pergi meninggalkan kami.
“Allahuakhbar. Innnalillahiwainnailaihirajiun. Khabar ini dapat tahu dari anaknya sendiri,” kongsi Issey yang turut memuat naik paparan skrin mesej daripada anak arwah.
Pada perkongsian yang sama, Issey turut berasa ralat kerana tidak dapat berjumpa dengan arwah disebabkan dia kini berada di Bandung, Indonesia.
“Sangat sebak dan ralat apabila saya sekarang berada di Bandung Indonesia. Allah. Al Fatihah untuk kekanda saya, Kamarool Haji Yussuf @ Cik Man,” katanya lagi.
Anak kepada Cik Man iaitu Fakhrol Aliff mengesahkan perkara tersebut selepas diberitakan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
Kongsinya lagi, pelakon filem Rock Oo itu sempat mengadu sakit perut beberapa hari sebelum bapanya ditidurkan semalam.
Cik Man ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) susulan masalah saluran jantung tersumbat.
Sumber - Instagram