Sekilas
- Pelakon Datin Seri Zizie Izette berkongsi perasaan sedih dan berat selepas hampir dua bulan pemergian suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
- Zizie memilih untuk kuat demi lima anak mereka dan memulakan aktiviti kecil yang menyeronokkan bersama anak-anak sebagai cara untuk teruskan hidup.
- Allahyarham Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Hampir dua bulan berlalu sejak pemergian suami tercinta, pelakon Datin Seri Zizie Izette mengakui ada kala kehidupannya terasa berat dan menyedihkan.
Zizie bagaimanapun berkata dia perlu menguatkan diri demi lima orang anaknya, selain memilih untuk bangkit dan memulakan sesuatu yang baharu walaupun secara kecil-kecilan.
“Saya banyak berfikir sejak suami saya meninggal dunia. Ada hari-hari saya rasa sangat berat dan sedih.
“Dan kemudian saya memandang lima orang anak saya dan berfikir, saya perlu teruskan, untuk mereka... dan untuk saya sendiri.
“Jadi saya memutuskan untuk memulakan sesuatu yang kecil dan menyeronokkan dengan anak-anak,” kongsi Zizie menerusi Instastory.
Pada perkongsian yang sama, isteri kepada Allahyarham Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ini turut meluahkan hasrat untuk melakukan sesuatu yang bermakna bersama anak-anaknya, meskipun sederhana.
“Tiada yang besar… hanya sesuatu yang bermakna yang membuatkan kami sibuk dan bersama. Saya akan kongsikan lebih lanjut tidak lama lagi.
“Ambil masa untuk lakukan sesuatu perkara. Mencari cara-cara kecil untuk teruskan,” katanya lagi.
Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi di sebuah hospital swasta Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Disember tahun lalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital.