Sekilas
- Karnival Zakat Selangor 2025 berlangsung dari 27 hingga 29 November di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam dengan pelbagai program komuniti dan aktiviti keluarga.
- Acara menampilkan persembahan istimewa dari kumpulan nasyid legenda, Inteam dan Hijjaz, serta lebih 150 pempamer dari pelbagai sektor.
- Karnival juga menawarkan 1,500 peluang pekerjaan, aktiviti untuk semua peringkat umur, jualan rahmah, food festival dan cabutan bertuah menarik.
Karnival Zakat Selangor 2025 kembali lebih meriah dengan pelbagai program komuniti, aktiviti keluarga dan persembahan istimewa. Acara berlangsung dari 27 hingga 29 November 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. Berikut lima tarikan utama yang tak boleh dilepaskan.
1. Inteam & Hijjaz Turun Pentas
Karnival tahun ini tampil istimewa dengan kemunculan dua legenda nasyid negara, Inteam dan Hijjaz, yang bakal menghiburkan pengunjung dengan lagu-lagu popular serta persembahan penuh nilai ketenangan dan kerohanian. Kehadiran dua kumpulan ikonik ini dijangka menjadi antara momen paling dinantikan sepanjang karnival kerana jarang sekali mereka tampil dalam acara terbuka bersama.
2. 150 pempamer pelbagai sektor
Lebih 150 pempamer dari agensi kerajaan, syarikat swasta dan usahawan hadir menyediakan pelbagai informasi, khidmat komuniti, pameran interaktif serta peluang perniagaan. Pengunjung berpeluang mendekati program-program LZS dengan lebih dekat dalam suasana santai.
3. 1,500 peluang pekerjaan melalui Karnival i-Kerjaya
Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 20 majikan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif hingga F&B. Peluang ini terbuka kepada semua, dengan keutamaan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar bagi membantu mereka memperoleh pendapatan yang stabil.
4. Aktiviti keluarga sepanjang hari
Karnival menawarkan pelbagai aktiviti untuk semua peringkat umur termasuk sukaneka rakyat, Zakat Run, zon E-Sports, VR Spot dan pertandingan mewarna. Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan maskot popular kanak-kanak, Omar & Hana, yang pasti menggembirakan si kecil.
5. Jualan rahmah, food festival & cabutan bertuah
Deretan food truck dan Jualan Rahmah menawarkan hidangan dan barangan keperluan dengan harga berpatutan. Hadiah cabutan bertuah turut menanti pengunjung setiap hari termasuk 3 buah motosikal sebagai hadiah utama. Kaunter semakan bantuan, bancian asnaf dan pembayaran zakat juga disediakan di lokasi.