Sekilas
- Akmal Asyraf tidak kisah jika peminat berkongsi foto lama dan projek terdahulunya tetapi mahu privasi keluarganya dihormati.
- Sebagai abang sulung, Akmal memadam gambar adik-adiknya untuk mengelakkan masalah di masa depan walaupun menerima pujian daripada peminat.
- Gambar Akmal bersama adik-adiknya tular di Threads dan mendapat reaksi positif, namun dia tetap menjaga batasan privasi keluarga.
Pelakon Akmal Asyraf memberitahu dia tidak kisah jika peminat ingin berkongsi semula foto lama dan mengambil tahu tentang projek terdahulunya.
Akmal bagaimanapun berharap peminat tidak menganggu kehidupan peribadinya dengan mencari foto keluarganya terutama adik-adik perempuannya.
“Untuk saya secara peribadi, kalau mereka nak korek projek saya yang dahulu, gambar-gambar lama, itu saya tak kisah.
“Tapi untuk keluarga, saya rasa itu lebih baik kalau kita asingkan. Saya lebih selesa kalau gambar-gambar keluarga saya tidak dicampurkan dan biarkan dia sebagai privasi.
“Memang mereka keluarga ada dalam perjalanan saya tapi mereka tak ada dalam perjalanan sekarang ni kan.
“Jadi saya rasa tak perlu untuk sekalikan hal privasi saya,” kata Akmal kepada Gempak.
Sebagai abang sulung, Akmal juga memberitahu dia bertindak memadam foto adik perempuannya kerana tidak mahu menimbulkan masalah di masa akan datang.
Akmal yang memegang watak Piji dalam Kudrat 1968: High Council turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memuji adik-adik perempuannya.
“Saya memang padam gambar mereka. Bukan sebab dapat DM tapi saya ambil jalan awal supaya ia tidak lanjut lebih jauh lagi.
“Saya sedar gambar mereka viral dan Alhamdulillah, terima kasih atas pujian tapi saya rasa tak perlu. Setakat yang saya nampak, saya tidak risau apa-apa.
“Sebab Alhamdulillah all is good, semuanya masih terkawal. Mereka pun okay sebab tak ada apa yang teruk lagi. Tapi saya sebagai abang mereka, saya mengambil inisiatif untuk padam,” ujarnya.
Terdahulu, tular di Threads gambar Akmal bersama dua adik perempuannya dan mendapat pujian.