Usahawan dan personaliti popular, Datuk Seri Aliff Syukri punyai sebab sendiri menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Porsche kepada anak sulungnya, Ammar Ahyan baru-baru ini.
Jelas Aliff, ia sebahagian daripada tanda penghargaan dan dorongan untuk menikmati zaman mudanya dengan penuh keyakinan.
Advertisement
Pemberian itu bagi Aliff bukan soal kemewahan semata-mata, tetapi lebih kepada simbol kasih seorang ayah yang mahu melihat anaknya tampil bergaya dan dihormati.
"Kereta mewah supaya nampaklah mewah sikit anak saya. Tak naklah orang fikir anak selekeh, saya seorang sahaja yang ke depan.
"Dulu saya dah penat bising fasal fesyen dan rambut dia yang selalu ‘kembang’, tapi bila dia makin besar saya nampak ada kemajuan. Sekarang ada gaya sikit.
"Saya juga nak orang tahu bapa dia bukanlah seorang yang kedekut.
"Saya tak nak orang pandang ‘anak jutawan tapi dia menyedihkan’. Saya tak nak begitu," ujarnya kepada Gempak.
Aliff ditemui pada majlis pelancaran beg tangan koleksi AS x Sally Whoo di Damansara pada Rabu.
Tambahnya, keputusan untuk membeli kereta itu dibuat selepas berbincang dengan isteri.
Pada awalnya, mereka hanya bercadang untuk membeli kenderaan biasa seperti Honda atau Mercedes bersaiz sederhana, namun hati seorang ayah akhirnya memilih sesuatu yang lebih istimewa.
"Asalnya saya dan isteri nak belikan Ammar kereta Honda je. Paling maksimum pun kereta Mercedes lah. Fikir punya fikir, saya nak Ammar ‘enjoy’ zaman muda dia. Ammar punya impian nak beli kereta Perdana, Honda Accord atau Mercedes X-Class.
"Sebagai seorang bapa, saya memang nak nampakkan anak saya hebat. Ketika saya senang sekarang, saya nak anak rasa bersama.
"Waktu susah nanti, takut saya tak boleh bagi. Kalau mampu beli Axia, Axia sahajalah saya mampu tapi memandang ada kemampuan, saya nak dia seronok hidup sekarang.
"Apa yang saya buat sampai hari ini adalah untuk anak saya juga. Sejujurnya, saya gembira bila tengok dia (Ammar) gembira," katanya.
Terdahulu, Aliff menghadiahkan kereta mewah yang dianggarkan bernilai hampir setengah juta ringgit diberikan khusus bagi kegunaan harian Ammar, terutama sebagai pengangkutan ke kolej.
Sekadar info, selain Ammar, Aliff dan Shahida mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.