Sekilas
- Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq, tekankan pentingnya perancangan awal dalam rumah tangga untuk menghadapi cabaran masa depan bersama isteri dan keluarga.
- Syed Saddiq berkongsi bahawa persediaan dari segi kewangan, kesihatan, dan lain-lain adalah kunci untuk kehidupan yang sihat dan bahagia jangka panjang.
- Hantaran perkahwinan Syed Saddiq buat Bella Astillah jadi tumpuan warganet, termasuk kerusi urut dan basikal lumba yang dibawa masuk secara mengejutkan dalam majlis.
Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq berkongsi mengenai pemilihan hantaran daripada pihaknya buat isteri, Bella Astillah.
Jelas Syed Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kehidupan berumah tangga bukan hanya mengenai saat-saat bahagia, sebaliknya pasangan juga perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang mungkin mendatang.
Justeru, baginya perancangan awal amat penting bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat, bahagia dan terjamin bersama keluarga dalam jangka masa panjang.
“Saya rasa penting untuk kita bersiap sedia untuk masa depan. Apabila kita berbicara soal masa depan, bukan semuanya baik. Ada juga gelora, cabaran dan ujian.
“Saya rasa penting untuk kita membuat perancangan senario (scenario planning) supaya apabila kita dibadai ombak, melalui pelbagai jenis ujian dan dugaan, kita sudah bersedia. Tidak kira dari sudut kewangan, kesihatan dan yang lain.
“Jadi, ini tentang persediaan dan perancangan supaya, insya-Allah, jika diberikan nikmat untuk hidup dengan jangka hayat yang panjang, kita dapat menjalani kehidupan yang sihat, lebih sejahtera dan bahagia.
“Bukan hanya antara saya dan Bella, tetapi juga bersama anak-anak serta ibu bapa kita. Jadi, ini tentang berorientasikan masa depan dan memastikan diri kita bersedia menghadapinya,” katanya.
Mengulas mengenai hantaran berkenaan, Bella mengakui mereka tidak membincangkannya secara terperinci sebelum majlis.
“Berbincang tiada, tapi adalah tanya-tanya sikit. Cuma suamilah yang buat kejutan untuk saya,” kata Bella.
Terdahulu, hantaran daripada Syed Saddiq buat isterinya menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet di media sosial.
Rata-rata terhibur melihat pembawa dulang hantaran daripada pihak pengantin perempuan membawa masuk sebuah kerusi urut ke dalam dewan pernikahan.
Selain kerusi urut, sebuah basikal lumba (road bike) yang diberikan Syed Saddiq kepada Bella turut mencuri perhatian dan mengundang keterujaan warganet.