Sekilas
- Noraniza Idris terharu dengan sokongan hangat selepas diumumkan sebagai penyanyi jemputan Konsert Gema Bumantara yang akan berlangsung pada 17 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.
- Konsert ini menampilkan pelbagai genre muzik tradisional Nusantara dan akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia bersama pemuzik profesional tanah air.
- Tiket konsert sudah mula dijual dengan pelbagai harga termasuk pakej khas untuk OKU, boleh dibeli melalui laman web rasmi Ticket2U.
Penyanyi, Noraniza Idris mengakui tersentuh dengan sambutan luar biasa yang diterimanya daripada orang ramai susulan diumumkan sebagai salah seorang penyanyi jemputan bagi konsert Gema Bumantara akan datang.
Penyanyi yang dikenali dengan genre irama tradisional itu berkata, sejak namanya diumumkan ramai individu tampil menyapanya, malah ada yang tidak dapat menahan sebak sehingga memeluknya sebagai tanda sokongan.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani turut berjanji akan memikul amanah yang diberikan sebaik mungkin demi memastikan konsert berkenaan menjadi satu pengalaman yang bermakna buat semua.
"Sepanjang dua hari ini, ada yang datang menyapa, teresak-esak menangis, peluk Kak Ani. Subhanallah.
“Kesan sidang media Bumantara. Insya-Allah, Kak Ani akan jaga amanah untuk buat sehabis baik. Tenang-tenang, okey. Kita support sama-sama sehabis baik," tulisnya di Threads.
Terdahulu, Noraniza diumumkan sebagai salah seorang penyanyi jemputan bagi Konsert Gema Bumantara yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.
Selain Noraniza Idris turut diumumkan sebagai penyanyi jemputan adalah Haziq Rosebi, Lesti Kejora dan King Nassar.
Konsert yang diterajui oleh pengarah muzik muda, Cha'an itu bakal mengangkat keindahan muzik warisan Nusantara menerusi pelbagai genre tradisional seperti Zapin, Joget, Asli, Inang dan lagu-lagu klasik.
Lebih istimewa, persembahan tersebut akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama barisan pemuzik profesional tanah air, sekali gus menjanjikan sebuah malam penuh nilai seni dan budaya.
Tiket konsert kini sudah mula dijual dengan harga RM70, RM100, RM200, RM300, RM369, RM469, RM569, RM699 dan RM899. Turut disediakan pakej khas untuk orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda pada harga RM500 sepasang termasuk seorang pengiring. Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi Ticket2U.