Sekilas
- Raf Yaakob menjelaskan dia dalam keadaan baik dan sifat pemalu serta introver menyebabkan dia lebih selesa berada di belakang tabir semasa acara 11.11 Mega Stock Live Concert.
- Raf menerima mesej bertanya tentang keadaannya selepas video dia yang tenang tersebar, dan abangnya, Datuk Fazley Yaakob, turut memberi sokongan dan penghargaan kepadanya.
- Datuk Fazley mencuri tumpuan dengan melamar Datuk Seri Vida menggunakan cincin khas bernilai RM7,000 yang direka oleh Habib Jewels, dengan keseluruhan kejutan romantis berjumlah kira-kira RM500,000.
Pempengaruh Raf Yaakob menjelaskan dirinya berada dalam keadaan baik selepas menerima mesej daripada individu yang bertanyakan keadaannya menerusi rakaman ketika acara 11.11 Mega Stock Live Concert.
Menurut Raf, sikapnya yang kelihatan tenang dan pendiam dalam video tersebut merupakan keperibadiannya yang pemalu serta introvert.
Menerusi perkongsian di Threads, Raf turut menjelaskan dia lebih selesa bersendirian dan menyaksikan detik penting dari belakang tabir.
“Dapat mesej peribadi ini semalam. Raf memang macam itu. Bersahaja, pemalu dan introvert.
“Saya lebih suka bersendirian, berada di belakang tabir dan menyaksikan detik-detik besar dalam diam. Ya, saya okey,” tulisnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas Raf menerima video yang merakamkan dirinya ketika acara berkenaan, berserta pertanyaan sama ada dia berada dalam keadaan baik.
Menerusi ruangan komen, abangnya yang juga cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob turut meninggalkan pesanan penuh penghargaan buat Raf.
“He is my Raden Panglima, my bodyguard dunia akhirat. Tq zal jaga Balong. Love you,” komen Fazley.
Terdahulu, Fazley mencuri perhatian apabila melamar usahawan, Datuk Seri Vida ketika membuat kemunculan di 11.11 Mega Stock Live Concert.
Bagi melengkapkan lamaran tersebut, Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil rekaan khas Habib Jewels yang menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran Vida memakai mahkota.
Rekaan tersebut dihasilkan khusus buat Vida, manakala keseluruhan kejutan romantis berkenaan difahamkan menelan belanja kira-kira RM500,000.
Sumber: Threads