Sekilas
- Penyanyi Elyana meluahkan rasa kecewa apabila anak angkatnya, Cahaya Ramadhani, menjadi mangsa ejekan berbaur rasis di media sosial.
- Elyana menegaskan dia membesarkan anaknya tanpa meminta belas kasihan dan mengecam sikap segelintir individu yang menghina anak kecil tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
- Tekanan terhadap Cahaya sudah berlaku sejak kecil, dan Elyana kini tidak mampu berdiam diri lagi terhadap kecaman yang semakin melampau.
Penyanyi Elyana tampil bersuara apabila anaknya, Cahaya Ramadhani didakwa menjadi mangsa ejekan pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi perkongsian di Threads, Elyana meluahkan rasa berang terhadap individu yang didakwa menghina anaknya dengan panggilan berbaur rasis.
“Ini kali terakhir saya nak cakap. Bab anak, saya tak main-main.
“Dengar sini, saya besarkan anak saya tak pernah minta ehsan atau belas kasihan daripada sesiapa pun selama ini. Jadi kenapa perlu biadab sangat?” tulisnya.
Elyana turut mempersoalkan sikap segelintir individu yang sanggup mengejek anak kecil tanpa memikirkan perasaan dan kesan jangka panjang.
“Adakah anak saya menyusahkan hidup kamu? Kenapa perlu ejek dengan panggilan ‘anak keling’? Dosa ke jadi anak keling?
“Kamu rasa hebat sangat jadi anak Melayu?” luahnya.
Menurut Elyana, tekanan dan kecaman terhadap anak angkatnya itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak anaknya masih kecil.
“Dari budak ini kecil sampai sekarang umur tujuh tahun, saya besarkan dia. Tak habis-habis tekanan yang kamu bagi.
“Kamu ingat anak angkat, anak keling tak ada hati dan perasaan?” katanya.

Penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu turut mengakui sudah lama memendam perasaan, namun tidak lagi mampu berdiam diri apabila isu tersebut semakin melampau.
“Saya banyak pendam selama ini, tapi makin menjadi-jadi perangai ‘setan-setan’ ini,” tulisnya lagi.
Untuk rekod Elyana mendirikan rumah tangga bersama Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Cinta Sumayah, 13 tahun.
Selain Cahaya, Elyana dan Khairul turut mengambil seorang lagi anak angkat istimewa yang diberi nama Tulus.
Sumber: Threads