Sekilas
- Adira Suhaimi bersyukur dan gembira melihat rakan baiknya, Bella Astillah, kembali bergelar isteri selepas berkahwin dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
- Adira mendoakan agar perkahwinan Bella dan Syed Saddiq kekal bahagia hingga ke akhir hayat dan ke jannah.
- Adira memuji Syed Saddiq sebagai lelaki yang baik dan berharap dia adalah pasangan yang tepat untuk Bella.
Penyanyi, Adira Suhaimi meluahkan rasa syukur melihat rakan baiknya, Bella Astillah kembali bergelar isteri selepas mendirikan rumah tangga bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Adira berkata, dia mendoakan agar perkahwinan Bella dan Syed Saddiq berkekalan hingga ke akhir hayat serta menjadi pasangan bahagia hingga ke jannah.
"Saya bersyukur sangat-sangat. Alhamdulillah, Bella diberi sekali lagi peluang untuk berumah tangga. Jadi, saya doakan semoga mereka sampai ke jannah, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Adira turut menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang lelaki yang baik dan berharap Ahli Parlimen Muar itu merupakan pasangan yang tepat buat Bella.
“Sudah tentu sebagai seorang kakak, saya sangat gembira. Pada masa yang sama, kita juga rasa sebak. Tapi alhamdulillah, saya gembira.
“Untuk Syed Saddiq, saya rasa dia seorang yang baik, insya-Allah. Alhamdulillah, dia orang yang tepat untuk Bella.
“Apa-apa pun masalah, kena berbincang. Itu sahaja. Perkara lain, kadang-kadang kita kena lalui sendiri. Saya doakan semoga mereka bahagia hingga ke jannah, insya-Allah,” katanya.