Sekilas
- Aeril Zafrel berkongsi kenangan terakhir duduk semeja bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang dianggap sangat berharga.
- Aeril memuji kelembutan dan kemesraan Allahyarhamah serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
- Allahyarhamah Tun Dr Hasmah, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi ini.
Berpeluang duduk semeja di sebuah acara baru-baru ini merupakan pertemuan terakhir pelakon dan usahawan Aeril Zafrel dengan Allahyarhamah YABhg. Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Menerusi hantaran di Threads, Aeril menganggap pertemuan itu juga merupakan kenangan yang sangat berharga buatnya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Baru beberapa hari lalu, saya diberi peluang duduk semeja dengan Tun Dr Siti Hasmah.
“Tak sangka pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir dan kenangan yang begitu berharga buat saya,” kongsi Aeril.
Pada hantaran yang sama, Aeril juga memberitahu dia akan sentiasa mengingati kelembutan dan kemesraan Allahyarhamah Tun.
“Saya akan sentiasa ingat kelembutan dan kemesraan Tun. Semoga Allah mengampuni segala dosa Tun, merahmati roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Salam takziah buat Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga. Al-Fatihah,” katanya.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sumber - Threads