Sekilas
- Aeril Zafrel mengaku kurang mahir berkongsi isu Palestin di media sosial dan lebih selesa berkongsi semula hantaran berkaitan.
- Beliau menyumbang melalui lakonan dalam mini filem Taufan Al Aqsa sebagai amal jariah untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
- Mini filem tersebut akan ditayangkan pada 19 Februari dan menampilkan Aeril sebagai Ahmad, seorang ejen Al-Qassam yang berjuang mempertahankan Palestin.
Pelakon Aeril Zafrel mengakui dirinya bukanlah individu yang mahir menyebarkan isu Palestin di media sosial kerana bimbang tersalah kata.
Menurut Aeril, dia lebih selesa berkongsi semula hantaran berkaitan Palestin berbanding memberi pandangan peribadi secara terbuka.
“Saya tak pandai sangat nak sebarkan pasal Palestin dekat media sosial. Saya cuba juga, tapi masing-masing ada kelebihan sendiri.
“Kalau saya berkata-kata, saya risau tersalah cakap. Jadi saya berani untuk kongsi saja. Itu salah satu sumbangan saya,” katanya.
Disebabkan itu, Aeril memilih untuk menyumbang dengan cara tersendiri menerusi lakonan dalam mini filem Taufan Al Aqsa sebagai satu bentuk amal jariah.
Aeril berkata, penglibatannya dalam mini filem berkenaan adalah niat yang ikhlas untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Ini amal jariah saya untuk kita memperjuangkan hak Palestin. Walaupun saya cuma melakonkan watak Ahmad, tapi kita tahu perjuangan dia memang kerana Allah.
“Dia sanggup berkorban, meninggalkan isteri dan anak-anak yang sedang membesar demi perjuangan tanah air Palestin,” ujarnya.
Tambah pelakon berusia 37 tahun itu, meskipun hanya sebuah karya lakonan, dia dapat pengorbanan sebenar yang menjadi nadi perjuangan tersebut.
“Walaupun ini hanya lakonan, saya dapat rasakan mereka semua benar-benar berjuang kerana Allah, Islam dan tanah air,” katanya.
Dalam mini filem berkenaan, Aeril memegang watak Ahmad, seorang ejen Al-Qassam yang berjuang mempertahankan Palestin namun akhirnya syahid.
“Saya rasa short film ini sangat menarik kerana saya percaya dengan misi dan arah tuju pengarahnya.
“Saya harap penonton dapat merasai sendiri suasana sebenar yang berlaku di Palestin apabila menonton karya ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, mini filem Taufan Al Aqsa dijadualkan tayangan pada 19 Februari dan turut dibintangi oleh Wawa Zainal, Zaim Shaari dan ramai lagi.