Sekilas
- Wawa Global Sdn. Bhd, milik pasangan selebriti Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, konsisten membayar zakat perniagaan sebanyak RM1 juta selama tiga tahun berturut-turut.
- Pasangan ini melihat pembayaran zakat sebagai tanggungjawab dan cara untuk berkongsi rezeki serta membantu golongan memerlukan.
- Lembaga Zakat Selangor menghargai komitmen mereka sebagai contoh terbaik kepada usahawan Muslim dalam menunaikan zakat secara konsisten dan beramanah.
Syarikat milik pasangan selebriti, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel iaitu Wawa Global Sdn. Bhd terus konsisten menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta selama tiga tahun berturut-turut.
Perkara itu juga menunjukkan bahawa pasangan selebriti ini begitu komited dalam membantu golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat yang merupakan salah satu kewajipan agama.
Menjadi pasangan selebriti pembayar zakat tertinggi, Wawa menganggap ia satu tanggungjawab untuknya berkongsi rezeki selepas mencapai kejayaan dalam perniagaan.
"Kami percaya setiap rezeki yang Allah kurniakan ada hak orang lain di dalamnya. Zakat bukan hanya satu kewajipan, tetapi juga cara untuk membersihkan harta dan menenangkan hati.
"Jika perniagaan kami berkembang, maka lebih besar tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Wawa berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Iktiraf Muzakki Dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertempat di Shah Alam, pada Selasa.
Dalam pada itu, Wawa berpendapat bahawa konsistensi menunaikan zakat merupakan prinsip yang sentiasa dipegang oleh dirinya dan Aeril sejak awal pembabitan mereka dalam dunia bisnes.
"Kami bermula dari bawah, jadi kami sangat memahami erti kesusahan. Harapan kami, sumbangan ini dapat memberi manfaat sebenar kepada asnaf dan menjadi asbab keberkatan serta kelangsungan perniagaan kami,” katanya.
Sementara itu, pihak LZS turut merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh terbaik kepada usahawan Muslim untuk menunaikan zakat secara konsisten dan beramanah.
Selain Wawa dan Aeril, syarikat milik pasangan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nu Shahida iaitu D’Herbs Holding Sdn. Bhd menjadi penyumbang zakat terbanyak dengan nilai RM2 juta.