Sekilas
- Datuk Afdlin Shauki meluahkan rasa terkejut dan hormat terhadap pemergian Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali yang dikenali sebagai seorang figura yang sangat baik dan mengambil berat tentang orang sekeliling.
- Afdlin melihat Tun Hasmah sebagai individu penting di belakang kejayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menjadi tempat suaminya meluahkan perasaan dan berkongsi buah fikiran.
- Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan dikenang sebagai tokoh wanita disegani atas sumbangan dalam bidang perubatan dan khidmat kemasyarakatan.
Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki mengakui terkejut ketika menerima berita pemergian isteri kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali.
Menurut Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, dia menyifatkan Tun Hasmah sebagai seorang figura yang sangat baik serta sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya.
“Saya membesar dengan Allahyarham Tun Dr. Hasmah. Kita membesar dengan beliau, kita pernah nampak dan pernah bekerja beberapa kali dengan Allahyarhamah di beberapa program.
“Beliau seorang yang sangat-sangat baik. Seorang yang sangat ambil kisah tentang orang sekeliling. Beliau bukan setakat jumpa dan jalan tetapi suka bertanya khabar. Bila bercakap beliau buatkan kita rasa memang beliau ambil kisah,” katanya kepada Gempak.
Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengebumia Tun Hasmah bertempat di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Afdlin melihat Tun Hasmah sebagai individu penting di sebalik perjalanan hidup dan kerjaya suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Afdlin, Allahyarhamah sering menjadi tempat untuk Tun Mahathir berkongsi perasaan serta buah fikiran sepanjang mereka bersama.
“Beliau mungkin hanya di belakang tabir bagi seorang Perdana Menteri tetapi Tun pastinya ‘bergantung nyawa’ kerana Allahyarhamah merupakan tempatnya untuk meluah perasaan, serta membantu dari segi buah fikiran,” katanya lagi.
Bercakap mengenai majlis pengebumian, pelakon filem Buli ini mengakui tersentuh melihat Tun Mahathir yang tidak dapat menahan sebak selepas pemergian isteri tercinta.
“Bila saya tengok video Tun tadi, saya sangat terkesan. Saya nampak beliau sedih.
“Saya pun terbayang macam mana kalau orang yang kita sayang dan dah hampir 70 tahun berada bersama kita, tiba-tiba pergi,” tambahnya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Berita duka itu disahkan sendiri anak kepada Allahyarhamah iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dr Hasmah meninggalkan tujuh orang anak serta ahli keluarga yang lain.
Allahyarham merupakan antara tokoh wanita paling disegani di negara ini dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan serta khidmat kemasyarakatan.