Sekilas
- In Saff Travel & Tours mengesahkan telah memulakan siasatan dalaman berhubung insiden ketua rombongan dan isterinya yang melakukan aktiviti tidak sesuai di Tanah Suci.
- Teguran rasmi telah dikeluarkan kepada individu terbabit dan video kontroversi telah dipadamkan daripada semua platform media sosial.
- Agensi menegaskan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran SOP atau etika, serta akan memperkukuh latihan dan pemantauan ketua rombongan.
Pengurusan agensi umrah In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. tampil memberikan penjelasan susulan isu melibatkan tingkah laku seorang ketua rombongan bersama isterinya ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak agensi memaklumkan bahawa mereka menyedari insiden berkenaan dan memandang serius perkara yang berlaku di bawah kendalian operasi syarikat.
Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dimulakan bagi menilai keseluruhan kejadian secara adil, telus dan berhemah.
"Teguran rasmi telah dikeluarkan kepada individu terlibat, kandungan berkaitan telah diturunkan dan permohonan maaf telah dibuat secara terbuka di platform beliau," tulis kenyataan itu.

In Saff Travel turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran prosedur operasi standard, etika kerja atau ketetapan syarak yang dikenal pasti hasil siasatan akan dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.
"Tindakan sewajarnya akan diambil tanpa kompromi sekiranya siasatan mendapati sebarang pelanggaran etika, SOP atau ketetapan syarak," tambah kenyataan itu.
Pada masa sama, langkah pemantauan serta latihan kepada semua ketua rombongan dan petugas akan diperkasakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Pihak syarikat turut menzahirkan rasa hormat terhadap kesucian Tanah Haram dan menghargai keprihatinan orang ramai yang mengambil berat mengenai adab serta tatasusila di lokasi suci tersebut.
Justeru, mereka memohon agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan untuk diselesaikan secara profesional.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan seorang penyampai radio bersama suaminya yang juga petugas jemaah umrah melakukan aktiviti ‘gender reveal’ dengan latar belakang Kaabah.
Tindakan itu mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan warganet yang berpendapat kawasan suci perlu dijaga adab dan kesopanannya.
Susulan kecaman diterima, pasangan terbabit telah memadamkan video berkenaan daripada semua platform media sosial.
Sumber: TikTok In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd.