Sekilas
- Pelakon veteran Korea Selatan, Ahn Jin Soo, meninggal dunia pada usia 81 tahun selepas lama melawan kanser pankreas.
- Beliau memulakan kerjaya lakonan pada 1965 dan terkenal melalui drama popular seperti Eyes of Dawn dan Sandglass serta lebih 300 filem sepanjang kerjayanya.
- Upacara penghormatan terakhir diadakan di Seoul Central Veterans Hospital dengan pengebumian dijadualkan pada 13 Ogos.
Pelakon veteran Korea Selatan, Ahn Jin Soo dilaporkan meninggal dunia pada usia 81 tahun selepas sekian lama bertarung dengan kanser pankreas.
Difahamkan Ahn Jin Soo yang sedang menjalani rawatan selepas penyakit berkenaan kembali berulang pada awal tahun ini, susulan pembedahan yang dilaluinya dua tahun lalu menghembuskan nafas terakhir pada 10 Ogos lalu.
Sementara itu, upacara penghormatan terakhir Ahn Jin Soo diadakan di Dewan Pengkebumian 3, Seoul Central Veterans Hospital, dengan upacara pengebumian dijadualkan berlangsung pada 13 Ogos, jam 6.30 pagi.
Pemergiannya dianggap sebagai satu kehilangan besar buat ramai peminat yang membesar dengan menyaksikan lakonan serta watak-watak yang pernah dijayakannya.
Untuk info, Ahn Jin Soo dilahirkan pada tahun 1945 ini memulakan kerjaya lakonan pada 1965 menerusi filem The Soldier Speaks After Death.
Sepanjang kerjaya seni yang berlangsung selama beberapa dekad, Ahn Jin Soo menjadi antara pelakon yang cukup disayangi menerusi kemunculannya dalam drama-drama popular seperti Eyes of Dawn, Sandglass dan Ladies of the Palace, selain program lakonan semula People of the Police Agency.
Pengaruhnya turut dirasai di layar perak apabila dia telah membintangi lebih 300 filem sepanjang kerjayanya, termasuk Our Happy Young Days, Two Cops dan Killing the Wife.
Jumlah karya yang pernah dibintanginya memperlihatkan kepelbagaian bakat serta dedikasinya terhadap dunia lakonan.
Sumber: Allkpop