Skip to main content

Hiburan

AIM24: Siti Nurhaliza Terima Anugerah Sri Wirama - “Jangan Pernah Takut Untuk Bermimpi Besar…”

 Anugerah Sri Wirama

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur selepas menerima Anugerah Sri Wirama pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Jelas Siti, pengiktirafan yang diterimanya itu adalah satu penghormatan terbesar sepanjang lebih 30 tahun perjalanan seninya. 

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, malam ini saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama, satu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya. Pertama sekali, jutaan terima kasih kepada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan RIM atas pengiktirafan ini. 

“Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk semua insan seni yang telah bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang serta keluarga, pihak pengurusan saya, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit, pihak media, serta semua yang telah menjadi tulang belakang kepada kerjaya saya. 

Advertisement

"Tidak lupa kepada peminat saya yang saya kasihi Sitizoners, yang telah setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti," katanya. 

Meskipun gembira dengan kejayaan itu, pelantun lagu Sejarah ini menganggap anugerah tersebut sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus berkarya dan menjadi inspirasi.

"Bagi saya, anugerah ini sebuah tanggungjawab untuk terus berkarya, mengangkat martabat muzik tanah air, serta memberi inspirasi kepada generasi baru.Kepada adik-adik artis muda, percayalah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Apa yang perlu adalah usaha yang berterusan, disiplin yang tinggi, dan keikhlasan dalam berkarya. 

"Jangan pernah takut untuk bermimpi besar, kerana mimpi itulah yang akan menjadi api dalam perjuangan kita," ujarnya. 

Majlis berprestij itu ditonton lebih 4,000 tetamu dan memberikan pengiktirafan kepada 31 kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Sri Wirama.

Bagi penganjuran kali ini, Kementerian Komunikasi telah memperuntukkan Dana Kandungan Kreatif (DKD) berjumlah RM700,000 menerusi My Creative Ventures yang diagihkan kepada 11 pemenang AIM24.

Must-Watch Video

Advertisement