Penyanyi, Yuji akui kurang faham dengan keputusan penganjur Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) berhubung kategori Lagu Strim Terbanyak Malaysia.
Menurut Yuji, lagu ciptaannya bersama Putri Dahlia berjudul Old Love yang meraih lebih 360 juta strim di Spotify sepatutnya layak dinobatkan sebagai pemenang, namun kemenangan berpihak kepada lagu yang hanya mencatat sekitar 12 juta strim.
Advertisement
“Lagu saya Old Love meraih 360 juta strim di Spotify tetapi AIM memberikan anugerah kepada lagu yang hanya mempunyai 12 juta strim untuk kategori Lagu Strim Terbanyak Malaysia,” katanya.
Walaupun menzahirkan rasa kecewa, Yuji menegaskan dia tiada sebarang masalah dengan Ernie Zakri selaku pemenang sebaliknya hanya mempersoalkan ketelusan penilaian oleh pihak penganjur iaitu Recording Industry Association of Malaysia (RIM) serta AIM sendiri.
“Sejujurnya saya tidak marah pada Ernie Zakri cuma saya tidak faham kenapa RIM dan AIM tidak memberikan kemenangan itu kepada Old Love,” tambah Yuji.
Bagaimanapun, lagu yang dimaksudkan penyanyi muda itu tidak tercalon dalam AIM24 sebaliknya lagu Masing-Masing.
Sekadar info, Ernie Zakri berjaya merangkul anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi lagu Masing-Masing bersama Ade Govinda.
Menerusi tinjauan Gempak, lagu Masing-Masing telah mencapai lebih 500 juta stream di seluruh platform penstriman.
Malah lagu tersebut juga diiktiraf RIM sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama di Carta RIM selama 27 minggu.