Sekilas
- Carmelle, peserta Eurovision Asia dari Filipina, menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Aina Abdul kerana kagum dengan vokal dan lagu 'Bluest Sky'.
- Carmelle terbuka untuk kolaborasi dengan penyanyi lain, tetapi Aina adalah pilihan utamanya kerana keserasian muzik balada mereka.
- Aina Abdul akan mewakili Malaysia di pentas Eurovision Asia pada 14 November di Bangkok, bersaing dengan peserta dari beberapa negara Asia.
Penyanyi dan peserta Eurovision Asia dari Filipina, Carmelle menyorot perhatian peminat penyanyi, Aina Abdul apabila menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pelantun lagu Bluest Sky itu sekiranya diberi peluang.
Menurut Carmelle, dia terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi, namun Aina menjadi pilihan utamanya kerana kagum dengan kehebatan vokal serta lagu Bluest Sky.
"Bagi saya, saya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, tetapi jika saya perlu memilih seorang, saya akan memilih Cik Aina Abdul.
"Ini kerana anda sangat hebat, terutamanya lagu 'Bluest Sky' anda.
"Pada masa yang sama, saya juga menyanyikan lagu-lagu berentak balada seperti itu. Jadi, saya sangat teruja sekiranya kolaborasi itu dapat direalisasikan.
"Namun, saya juga terbuka dan sudi untuk bekerjasama dengan finalis-finalis yang lain," katanya.
Terdahulu, Carmelle mencuri perhatian netizen selepas memberikan reaksi positif terhadap persembahan vokal Aina Abdul.
Menerusi potongan video yang dikongsikan di Threads, Carmelle dilihat memuji suara Aina ketika mendengar lagu Bluest Sky, sekali gus mengundang perhatian peminat muzik tempatan.
Sekadar info, Aina dijadualkan berentap di pentas Eurovision Asia pada 14 November ini di Bangkok, Thailand, dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di persada muzik antarabangsa.
Antara negara lain yang bakal memberikan saingan termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.