Penyanyi, Aina Abdul meluahkan rasa teruja dan bangga apabila diberi peluang untuk membacakan ikrar sempena acara Keretapi Sarong 2025 pada Sabtu.
Menurut Aina, pengalaman itu cukup istimewa kerana sesuatu yang tidak pernah dirasainya ketika zaman persekolahan dahulu.
“Saya dekat sekolah dulu tak pernah dapat baca ikrar macam ini,untuk mengetuai itu saya tidak pernah. Jadi terima kasih kepada Keretapi Sarong sebab bagi saya peluang ini. Saya harap semua yang datang majlis hari ini bergembira.
“Saya sangat bangga sebab dapat turut serta untuk majlis hari ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Aina turut memuji penganjuran Keretapi Sarong yang dianggap sebagai inisiatif baik dalam menyatukan masyarakat menerusi budaya dan semangat kebangsaan.
“Saya sangat memuji usaha ini dan kita perlukan lebih banyak majlis sebegini di Malaysia. Seperti yang kita dapat lihat kemeriahan itu tidak dibuat-buat saya juga dapat merasakannya.
“Saya harap kita akan dapat banyak lagi program seperti ini di Malaysia,” tambahnya.
Terdahulu, Aina Abdul hadir untuk mengetuai bacaan ikrar tersebut bersama ribuan peserta acara berkenaan di RainTree Plaza, TRX, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Advertisement
Dalam pada itu, Aina turut menghiburkan peserta yang hadir dengan tiga buah lagu iaitu Asean, Warisan dan Standing In The Eyes Of The World nyanyian asal Ella.
Aina juga tampil manis mengayakan kebaya putih dengan elemen Asean rekaan pereka fesyen, Rashid Moshi.
Untuk rekod, tahun lepas Keretapi Sarong 2024 telah membawa usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming untuk memimpin bacaan Ikrar yang berlangsung di Matic Kuala Lumpur.
Sekadar info, Keretapi Sarong 2025 merupakan program anjuran LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.