Selepas sekian lama peminat berteka-teki, penyanyi dan komposer Aina Abdul mengumumkan bakal melancarkan single terbaharunya berjudul Sesaat pada 26 September ini lengkap dengan muzik video rasmi.
Menerusi hantaran di Instagram, Aina meluahkan rasa teruja apabila karya tersebut akhirnya dapat dikongsikan dengan peminat selepas melalui proses yang penuh cabaran.
“Kisah Sesaat Aina tidak mudah, saya terbang ke Jakarta berkali-kali untuk Sesaat. Siapa tahu Sesaat menanti saya.
“Terima kasih kepada team Fabio Asher kerana menghadiahkan lagu yang begitu indah ini! Sekali-sekala seronok juga menyanyikan hasil tulisan orang lain kan?
“Tapi bila ia seindah ini, siapa yang sanggup menolak? Aina tak sabar nak semua orang dengar lagu penuh bersama visual yang kami sediakan… kita tunggu 26 September ini ya?” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat tidak sabar menantikan lagu terbaharu daripada Aina.
Terdahulu, peminat menjangkakan Aina Abdul bakal melancarkan sebuah lagu baharu selepas tular satu audio yang dipercayai milik pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu.