Sekilas
- Pelawak Amir Raja Lawak sebak bertemu pempengaruh media sosial Budak46 yang menghidap penyakit retinitis pigmentosa.
- Amir kagum dengan semangat Budak46 yang terus menghasilkan kandungan untuk menghibur walaupun menghadapi masalah penglihatan.
- Amir mengajak orang ramai menyokong Budak46 dengan mengikuti dan membeli produk melalui pautan affiliate di media sosialnya.
Pelawak dan usahawan, Amir Raja Lawak tidak dapat menahan sebak ketika bertemu pempengaruh media sosial, Ammar atau Budak46 yang kini sedang berdepan penyakit retinitis pigmentosa.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Amir mendedahkan dia sudah beberapa kali menitiskan air mata ketika menonton video Ammar namun, perasaan itu menjadi semalin sukar dikawal selepas berjumpa pempengaruh itu secara berdepan.
“Bila saya berdepan dengan Ammar, suara saya dah bergetar. Tak sampai lima minit bercakap dengar luahan dan cerita dia, terus air mata saya tumpah,” kongsinya.
Tambah Amir, dia juga tersentuh dengan semangat luar biasa yang dimiliki pempengaruh tersebut.
“Ye, saya menangis sebab jiwa dia besar.
“Apa yang orang komen mahupun ada sambutan atau tidak, dia tetap buat video atau gambar untuk hiburkan orang.
“Dan dia buat untuk hiburkan orang disaat ketika dia memang menghidap retinitis pigmentosa, tanpa dia bagitahu pun dia ada masalah itu,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, bekas peserta Raja Lawak musim ketiga ini bersyukur kerana Allah mengizinkannya untuk bertemu dan memeluk Ammar.
“Alhamdulillah, Allah izinkan saya sampai rumah keluarga Ammar, dan saya dapat peluk dia seperti yang saya rasa nak buat masa tengok video Ammar berjalan dipimpin adik kandung dia,” ujarnya.
Di akhir perkongsian, Amir menitipkan doa agar Ammar diberikan kesembuhan serta mengajak orang ramai terus menyokong pempengaruh itu di media sosial.
“Sembuhkanlah mata Ammar Ya Allah, supaya Ammar dapat menikmati keindahan ciptaanMu Ya Allah, aamiin ya mujib ya rabbal alamin.
“Anda semua jangan lupa support follow dan shopping kat video affiliate Ammar ye kat TT dia ‘BUDAK 46’,” katanya lagi.
Terdahulu, adik kepada Budak 46 yang dikenali sebagai Cuna menyorot perhatian apabila berkongsi keadaan abangnya yang menghidap retinitis pigmentosa, iaitu sejenis penyakit mata yang menyebabkan penglihatannya semakin merosot secara beransur-ansur.
Malah, Cuna turut berkongsi keadaan penglihatan abangnya semakin berkurangan dari hari ke hari sebelum meminta orang ramai memberi sokongan dengan membeli produk menerusi pautan affiliate milik Budak 46.
Sumber: Instagram