Skip to main content

Hiburan

Aisha Retno Luah Rasa Kehilangan Dalam Single ‘Semoga Saja’

Aisha Retno

Penyanyi dan komposer muda, Aisha Retno terus memperkukuh kedudukan dalam industri muzik serantau apabila tampil dengan single terbaharu berjudul “Semoga Saja” hasil kolaborasi bersama pemuzik dan produser ternama Indonesia, Ade Govinda.

Berbeza dengan kebanyakan karya Ade Govinda yang bernuansa pop-ballad, “Semoga Saja” hadir dengan susunan tempo medium namun tetap penuh emosi dan makna mendalam. 

Lagu ini mengisahkan tentang rasa kehilangan serta doa terhadap seseorang yang telah pergi, disampaikan dengan vokal lembut namun bertenaga oleh Aisha.

Advertisement

Menariknya, Aisha turut terlibat sebagai penulis lirik bersama Ade Govinda, menjadikan lagu ini lebih peribadi dan tulus dari segi penyampaian emosi.

“Sejujurnya, lagu ini sangat peribadi buat saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang. 

Saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan daripada harapan yang tersisa,” ujar Aisha.

Sementara itu, Ade Govinda turut menzahirkan rasa bangga dengan kolaborasi ini.

“Semoga dengan adanya kolaborasi ini, kami dapat terus bekerjasama pada masa akan datang,” katanya ringkas.

“Semoga Saja” boleh dinikmati di seluruh platform muzik digital bermula 19 September 2025. Video muzik rasminya pula boleh disaksikan di saluran YouTube Ade Govinda.

Aisha, yang dikenali dengan vokal unik dan karakter musikalnya tersendiri, pernah melakar pelbagai kejayaan sepanjang enam tahun bergiat dalam dunia seni. Antara lagu popularnya termasuk “Mengikat Jiwa”, “Nukilanku”, “W.H.U.T”, “Pencarianku”, dan “Sutera”.

Malah, wajahnya pernah terpampang di papan iklan digital tersohor dunia di Times Square, New York, sebagai sebahagian daripada kempen Spotify EQUAL bagi Malaysia dan Singapura pada tahun 2022 satu pencapaian yang membuktikan potensi antarabangsa penyanyi ini.

Must-Watch Video

Advertisement