Sekilas
- Lorenzo Irmann pernah hampir mendirikan rumah tangga tetapi hubungan itu berakhir atas persetujuan bersama kerana kedua-dua pihak mahu fokus pada kerjaya.
- Pelakon drama Wish List ini mengakui dia terlalu mengutamakan cinta sebelum ini, namun kini lebih memilih untuk fokus membina kerjaya lakonan.
- Drama terbaru Lorenzo, Bidadari Tanpa Syurga, kini memasuki dua minggu terakhir dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa.
Pelakon, Lorenzo Irmann mengakui dirinya pernah berasa di fasa hampir mendirikan rumah tangga beberapa tahun yang lalu namun hasrat tersebut tidak kesampaian selepas kedua-dua pihak membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Ujar Lorenzo, pengalaman itu kemudiannya membuatkan dirinya kini lebih memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Pernahlah (merancang untuk berkahwin). Perancangan itu penting kan. Saya dah pernah gagal dalam membina sebuah rumah tangga… bukan rumah tangga lagi, tapi perancangan ke arah itu.
“Tapi bila tak jadi, saya buat keputusan untuk fokus kerja saja sekarang,” katanya kepada Gempak.
Lorenzo berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis Tayangan Perdana Viu Original Cinta Dalam Sekam bertempat di Odeon Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lanjut, pelakon drama Wish List ini beranggapan dia mungkin terlalu mengutamakan cinta sehingga meletakkan hubungan sebagai satu keutamaan pada ketika itu.
“Bagi saya, masa itu mungkin saya terlalu bucin, (meletakkan cinta nombor satu).
“Tapi bila fikir balik masa depan saya, saya rasa macam terlalu awal dan lebih baik fokus pada kerjaya.
“Nama saya pun baru nak menapak. Masa pun tak ada. Saya pun baru habis belajar dan terus sambung kerja. Takkan nak terus kahwin kan,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Lorenzo menjelaskan bahawa hubungan tersebut bukanlah berakhir kerana orang ketiga sebaliknya ia dibuat hasil daripada persetujuan kedua belah pihak.
Malah, dia tidak menafikan kerjayanya sebagai pelakon mungkin menjadi antara faktor kepada perpisahan yang terjadi.
“Tak ada siapa tinggalkan siapa. Atas keputusan yang kedua-dua pihak setuju untuk fokus kepada kerjaya.
“Mungkin sebenarnya itu (kerjaya sebagai pelakon) faktor utama juga. Tapi saya rasa kalau pandai urus, tak ada halangan pun.
“Ramai saja artis yang berkahwin dengan orang biasa dan pasangan mereka boleh faham serta beri kerjasama,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, drama lakonan Lorenzo yang berjudul Bidadari Tanpa Syurga kini sudah memasuki dua minggu terakhir.
Selain Lorenzo, drama ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Datuk Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Syad Mutalib dan ramai lagi.