Sekilas
- Acha Septriasa menggunakan teknik membaca surah pendek dan zikir untuk kekal fokus dan tenang ketika melakonkan watak Fitri dalam filem Munafik: Melawan Iblis.
- Walaupun babak memenatkan seperti memanjat dinding dilakukan sehingga 33 kali, Acha tetap komited tanpa mengira statusnya sebagai pelakon berpengalaman.
- Munafik: Melawan Iblis kini ditayangkan di pawagam seluruh negara dengan kerjasama beberapa produksi dan Astro Shaw sebagai rakan pemasaran di Malaysia.
Mengaku tidak mudah memainkan watak Fitri, wanita yang kerasukan dan berubah menjadi iblis dalam filem Munafik: Melawan Iblis, Acha Septriasa ternyata punya cara tersendiri untuk membantu dirinya bertenang sekaligus melunaskan tanggungjawab sehingga filem tersebut sempurna sepenuhnya.
Selain tidak memikirkan adakah dia benar-benar akan ‘dirasuk’ atau mengalami kejadian mistik, Acha, 37, mengatakan teknik membaca surah pendek dan zikir adalah ‘kunci’ kepada fokus yang diberikan terhadap komitmennya sebagai Fitri.
“Sebenarnya memang jika mahu rasa takut, pasti ada. Penggambaran dilakukan jauh dari kota dan bangunan yang sudah seperti rumah hantu.
“Tapi oleh kerana saya terlalu sibuk memikirkan tentang memberi yang terbaik terhadap watak Fitri, mana yang menjadi ‘iblis’ dengan solekan dan segalanya, saya tidak sempat terfikir tentang kejadian mistik.
“Namun saya termasuk orang yang sering membaca kalimat Tuhan ketika lagi berasa bahaya. Dan di filem ini, ia sangat kontradiktif kerana saya sedang menjadi ‘iblis’. Jadi prosesnya itu lucu,
“Jadi saya sentiasa membaca ayat Kursi, kalau misalnya sudah baca tujuh kali, saya sambung dengan zikir seperti ‘Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah atau Subhanallah Alhamdulillah Walailahaillallah, Wallahuakbar,” jelas Acha panjang lebar.
Malah, surah yang paling membuat dirinya terlepas daripada rasa sulit bermain di filem yang diadaptasi daripada karya ghaib legenda Malaysia ini, Munafik adalah membaca surah Al Insyiraah.
“Tapi jika rasa berasa terlalu sulit, saya baca surah Al-Insyiraah. Al-Insyiraah, it's oh my God, surah ini tidak pernah gagal membuat saya tenang melakonankan keseluruhan babak dalam filem ini,” akuinya yang membawa bergandingan dengan Arya Salako sebagai Ustaz Adam dalam Munafik: Melawan Iblis.
Acha kemudian menjelaskan, meski sulit melakonkan watak Fitri termasuk terpaksa melakukan sehingga 33 kali ‘take’ memanjat dinding, dia tetap ingin melunaskan babak-babak tersebut.
Malah dia juga membuang persepsi sebagai seorang bintang yang sudah cukup terkenal dan ‘jam terbang’ berlakon yang tinggi, seorang Acha sudah tidak perlu bersusah payah melakukan babak-babak memenatkan sedemikian.
Sebaliknya kata Acha: “Saya berasa sewaktu punya kesempatan bermain di filem ini, apa lagi membawa watak ikonik seperti Fitri, ia sangat ditunggu-tunggu.
“Kenapa saya tunggu? Kerana itu adalah sebuah babak yang saya ingat sewaktu saya tonton Munafik dahulu.
“Jadi saya tidak perlu ada perasaan ‘Oh, ini kan udah jam terbang tinggi, kenapa saya mesti mahu bersusah payah lakukan babak panjat tembok?
“Harusnya buat saya secara peribadi tidak perlu membuktikan apa-apa, misalnya sebab sudah lama berlakon jadi tidak perlu penat melakonkan watak yang memenatkan seperti itu.
“Justeru saya terbalik. Saya berfikir sebaliknya. Saya malah berasa ‘Oh, this is like very close to my heart. This story is very close to my heart’ (cerita ini sangat dekat di hati saya)”.
Munafik: Melawan Iblis yang diarahkan oleh Guntur Soeharjanto kini merasuk di pawagam seluruh negara.
Filem tersebut merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions, serta sokongan oleh Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions. Manakala Astro Shaw bertindak selaku rakan pemasaran di Malaysia.