Penampilan terbaharu pelakon, Amyza Adnan menarik perhatian ramai selepas video dirinya sopan bertudung dimuat naik oleh usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa.
Menerusi perkongsian tersebut, Alha atau nama sebenarnya Abdul Al-Halim Al-Fadzil memaklumkan bahawa Amyza merupakan antara selebriti yang dijemput untuk menjadi model solekan sempena projek khas Ramadan akan datang.
Advertisement
Difahamkan, bagi menjayakan projek berkenaan, semua selebriti yang terlibat perlu tampil dengan imej bertudung termasuklah Amyza.
“Alhamdulillah kak, happy for you! Ramadan kali ini saya nak sajikan kepada korang ramai selebriti Malaysia bertudung dengan look makeup yang berbeza.
“Kami minta semua artis yang join kena bertudung. Kali ini jemputannya kak Amyza… dia punya excited!
“Terkeluar dari mulut saya, ‘kak, dulu kak Amylea pun macam ni… kami saja-saja pakai tudung, tup-tup pakai terus’. Sambil gelak-gelak dia jawab… aminnnnn. Lahhh rupanya betul-betul,” katanya.
Alha dalam masa sama turut menzahirkan rasa syukur dan teruja melihat perubahan tersebut serta berharap agar pelakon berusia 48 tahun itu kekal istiqamah dalam penghijrahannya.
“Tahniah kak, tahniahhh! Semua support kak Amyza kita okay! Bagi semangat tau! Amin amin amin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kemunculan Amyza dengan imej baharu itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang tidak putus-putus menitipkan doa agar pelakon drama Mak Cun itu kekal istiqamah.
“Cantik sangat bila bertudung.
“Doakan semoga terus kekal dan dipermudahkan segala urusan.
“Terharu tengok perubahan ni, semoga jadi titik permulaan baharu buat Amyza,” komen beberapa netizen.