Sekilas
- Dr Fie berkongsi pengalaman perpisahan yang pernah dilaluinya dan kini melihatnya sebagai ketentuan Tuhan untuk membawa kebahagiaan.
- Dr Fie mengucapkan syukur atas setiap perpisahan yang pernah disesalkan kerana ia membawanya kepada pemahaman dan kesabaran yang mendalam.
- Dr Fie mengesahkan sudah bertunang sejak 6 Ogos lalu tetapi belum mendedahkan identiti bakal suaminya kepada umum.
Pempengaruh media sosial, Dr Fie berkongsi luahan hati mengenai pengalaman perpisahan yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Fie atau nama sebenarnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 37 dia pernah menganggap kehilangan sebagai satu pengakhiran dan mempersoalkan mengapa dirinya perlu melalui fasa tersebut.
Namun, selepas melalui fasa tersebut, Dr Fie kini melihat setiap perpisahan yang berlaku sebagai sebahagian daripada aturan Tuhan untuk membawanya kepada kebahagiaan yang tidak pernah disangka.
“Dulu aku fikir, kehilangan itu adalah pengakhiran. Rupanya, ada kehilangan yang Tuhan izinkan supaya aku berhenti menggenggam sesuatu yang bukan lagi untukku.
“Aku pernah menangisi apa yang pergi, pernah tertanya kenapa harus aku lalui semua itu. Tapi hari ini, bila aku menoleh ke belakang, aku cuma mampu berkata.
“Alhamdulillah, untuk setiap perpisahan yang pernah aku sesalkan,” coretnya.

Dalam hantaran yang sama, Dr Fie juga berkata, sekiranya masih berada di tempat yang sama, mungkin dia tidak akan bertemu dengan seseorang yang membuatkan dirinya memahami hikmah di sebalik kesabaran yang dilalui selama ini.
“Sebab kalau aku masih berada di tempat yang sama, mungkin aku takkan pernah sampai kepada seseorang yang membuat aku faham, kenapa Tuhan suruh aku bersabar selama ini.
“Terima kasih, ya Allah, untuk cerita yang pernah patah, untuk hati yang pernah terluka, dan untuk bahagia yang akhirnya datang dalam bentuk yang tak pernah aku sangka.
“Rupanya, yang aku sangka kehilangan, adalah cara Tuhan membawa aku pulang kepada bahagia,” coretnya.
Terdahulu, Dr Fie mengesahkan dirinya sudah bertunang sejak 6 Ogos lalu namun baru berkongsi foto majlis tersebut kepada umum.
Bagaimanapun, Dr.Fie belum bersedia mendedahkan identiti bakal suaminya kepada umum dan memilih untuk menyimpan perkara tersebut sehingga tiba hari pernikahan kelak.
Untuk info, Dr. Fie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Nubhan pada Ogos 2015 sebelum bercerai talak dua pada 2 Disember 2025.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.