Skip to main content

Hiburan

Aliff Aziz Nafi Hilang Dari Industri, Masih Dapat Tawaran Job Di Malaysia - “Apa Yang Sudah Jadi, Biarlah…

kjsfhkjdh

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz menafikan dirinya menghilang daripada industri seni selepas melalui fasa sukar termasuk penceraian dan kontroversi peribadi sebelum ini.

Menurut Aliff, 33, dia masih menerima pelbagai tawaran kerja di Malaysia dan lebih selesa memberi fokus kepada perkara yang memberi manfaat kepada dirinya dan keluarga.

Advertisement

“Alhamdulillah, tawaran nyanyian, majlis korporat dan perkahwinan masih ada. Kiranya saya masih aktif lagi menyanyi, Alhamdulillah,” katanya.

Tambah Aliff, dakwaan kononnya dia menjauhkan diri daripada dunia hiburan tidak benar kerana kini dia lebih memilih untuk hidup tenang dan berserah kepada ketentuan rezeki.

“Menghilangkan diri tu rasanya tidak. Sekarang saya percaya kepada rezeki dan apa yang telah disusun untuk saya.

“Daripada terlalu stres memikirkan apa yang bakal berlaku atau ke mana arah rezeki kita, lebih baik saya teruskan hidup dengan tenang dan melangkah ke depan satu hari demi satu hari,” katanya.

Aliff berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas sidang media Havoc Trio Food Festival 2025 di ibu negara pada Khamis. 

Dalam masa sama, pelantun lagu Sayang-Sayang itu juga memberitahu selepas fasa penceraian, dia banyak mengambil masa untuk memperbaiki diri dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Selepas semua yang berlaku, saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan refleksi diri. Sekarang saya tak mahu cerita panjang tentang masa lalu sebab bagi saya, yang penting ialah terus bergerak ke depan.

“Kita dah nak masuk tahun 2026, jadi saya nak fokus pada perancangan dan langkah yang akan datang. Tak perlu lagi toleh ke belakang,” ujarnya.

Jelas Aliff lagi, dia tidak mahu terus dibayangi kisah lalu sebaliknya mahu membuka lembaran baharu dalam hidup.

“Apa yang dah berlaku, biarlah berlalu. Tak sihat untuk terus mengenang perkara lama sedangkan semua orang pun sedang bergerak ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah disahkan bercerai talak satu pada 13 Jun tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 8, dan Ara, 5, yang kini berada di bawah jagaan penuh Bella.

Must-Watch Video

Advertisement