Sekilas
- Aliff Kimiey menggesa netizen supaya tidak memuji peserta dengan menjatuhkan peserta lain dalam Big Stage Rocketfuel.
- Beliau menegaskan semua peserta sudah melalui perjalanan dan cabaran yang panjang dan wajar mendapat sokongan sama rata.
- Aliff turut memberi ucapan semangat kepada semua peserta yang akan berentap di pentas akhir Big Stage Rocketfuel Ahad ini.
Bintang Big Stage Rocketfuel, Aliff Kimiey memohon agar netizen berhenti memuji seseorang dengan cara menjatuhkan peserta lain yang turut berjuang dalam program berkenaan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Aliff berkata setiap peserta sudah melalui cabaran serta perjalanan yang panjang bersama-sama.
Tegas Aliff lagi, disebabkan itu, mereka sepatutnya wajar mendapat sokongan tanpa perlu dibandingkan atau direndahkan oleh individu lain.
“Guys, jangan puji seseorang dengan menjatuhkan orang lain. Anggaplah semua ni rezeki masing-masing.
“Korang tak tahu apa yang setiap seorang daripada kami lalui dan usahakan untuk sampai ke tahap ni.
“Support semua orang, sebab kita semua dah lalui perjalanan yang panjang sama-sama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aliff juga turut menitipkan ucapan semangat buat kesemua peserta yang bakal berentap di pentas akhir Big Stage Rocketfuel Ahad ini.
“Mereka semua kawan-kawan saya, dan saya genuinely bangga dengan setiap seorang daripada mereka.
“To all the boys, and Ranisha, good luck final, blast habis this week,” coretnya.
Terdahulu, Qilo dan Aliff Kimiey diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir Big Stage X Rocketfuel, manakala Danial Kifli menjadi peserta pertama layak ke minggu akhir melalui U Mobile ‘Priority Pass’.
Manakala Ranisha, Adam Nazmie, Yad-Z, Hussain, dan Danny turut layak ke minggu akhir selepas mendapat undian tertinggi daripada juri.