Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri nafi mahu menjual kucing seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, video itu hanyalah gurauan semata-mata dan menganggap perkara tersebut tidak wajar diperbesarkan oleh netizen.
“Saya memang penggemar kucing, tiba-tiba kucing di rumah saya itu mengandung.Tahi dia memang busuk di rumah, tapi takkanlah saya nak buang mereka?
"Saya tanya siapa nak beli dan saya jual sahajalah. Itu pun nak viral,”katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Aliff juga tidak menyangka gurauan tersebut akan mengundang kecaman sehingga terpaksa memadamkan video terbabit.
“Saya kat rumah tu berak pun tak sempat… maksudnya saya memang tiada masa untuk diri sendiri. Jujur, video tu cuma content dan saya terlepas cakap. Saya terlalu sibuk, saya cuma buat live untuk content sahaja. Tak baik netizen kutuk saya… Benda buruk semua nampak, benda baik tak nampak. Itulah masalah orang Malaysia.
“Saya dah padam video itu sebab kena kecam. Saya nak jadi orang baik,” ujarnya.
Sementara itu, isterinya Datin Seri Nur Shahida menegaskan suaminya tidak pernah berniat menjual kucing berkenaan dan semua kata-kata dalam video itu adalah gurauan biasa Aliff.
“Tidaklah… mana ada dia jual kucing. Dia saja melawak. Siapa tak kenal Aliff Syukri? Sebenarnya kucing itu adalah milik anak kami, Qadejah El Zahra. Dialah yang jaga… sampai periksa kutu, potong kuku, semua dia yang buat,” jelasnya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran tiga orang anaknya yang diadakan di The Window Restaurant, Royale Chulan The Curve, Damansara, Selangor pada malam Khamis.
Sebelum ini, tular di aplikasi Threads apabila netizen meluahkan rasa kecewa selepas Aliff dikatakan mahu menjual kucing miliknya.
Lebih mengundang kemarahan apabila Aliff turut menyebut kucing tersebut sebagai ‘baka tak bagus, buruk dan hodoh’, menyebabkan ada netizen menuduhnya mengeksploitasi haiwan.