Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu rumah tangga Uqasha dan Kamal serta memberi kepercayaan kepada proses perundangan.
Aliff mengingatkan netizen agar tidak mencetuskan provokasi kerana mahkamah mempunyai bukti lengkap seperti video, saksi, dan bukti forensik untuk menentukan kebenaran.
Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menasihatkan orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada Uqasha mahupun Kamal, dalam hal rumah tangga mereka yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Malah kata Aliff, orang ramai seharusnya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Kepada netizen semua dengar saya cakap. Dalam cerita ini korang jangan berpihak kepada sesiapa, ke Uqasha ke, ke Kamal ke.
“Biar mahkamah buat kerja, sebab bila di mahkamah, segala bukti kamera, video, saksi semua ada. Kita sebagai rakyat Malaysia jangan keruhkan lagi keadaan,” ujarnya.
Aliff berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.
Dalam hantaran itu lagi, Aliff juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mencetuskan provokasi atau menghangatkan lagi keadaan kerana mahkamah mempunyai pelbagai kaedah pembuktian termasuk bukti forensik
“Kalau betul dia kena, dekat mahkamah ada hakim, ada majistret, jadi saya harap jangan menambah keruhkan lagi, kita doakan yang terbaik.
“Sebab kalau dekat mahkamah ni, air kencing, sentuhan, video semua jadi bukti. Jadi apa pun jangan bagi panas,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha mendakwa suaminya, aktor Kamal Adli telah melakukan keganasan terhadap dirinya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Kamal ketika ditemui media bagaimanapun menafikan perkara itu dan berani bersumpah untuk menjunjung Al-Quran terhadap dakwaan mendera dan memukul sepanjang perkahwinan mereka.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.