Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri menegaskan kemenangan kategori Seller Terpaling Popular di ABP37 bukan hasil undian sendiri tetapi sokongan peminat setia.
- Aliff merancang mengadakan majlis doa selamat sebagai tanda kesyukuran selepas hampir 20 tahun dalam industri jualan dan hiburan.
- Aliff dan anaknya, Ammar Ahyan, diumumkan pemenang kategori sampingan Seller Terpaling Popular, menewaskan beberapa pesaing hebat lain.
Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memegaskan kemenangannya di Anugerah Bintang Popular 37 (ABP37) bagi kategori Seller Terpaling Popular bukan hasil undian sendiri.
Sebaliknya kata Aliff, kemenangan itu sebagai bukti sokongan peminat yang sentiasa mengikuti setiap langkahnya, termasuk dalam bidang hiburan yang sering menerima kecaman.
“Sejujurnya saya dah tua, tak sangka anugerah ni wujud sebab sebelum ini anugerah yang ada adalah seperti pelakon terbaik, penyanyi terbaik.
“Tahu tahu anugerah Seller Terpaling Popular pula, rasa macam betul ke anugerah ini ada.
“Dengan nama Allah saya tidak pernah vote untuk diri sendiri, pesaing pesaing saya pun hebat hebat belaka. Saya hanya sekecil ini sahaja.
“Tak sangka saya ada peminat ini terbukti apabila lagu saya dimainkan. Walaupun ramai mengecam tetapi ramai juga yang menunggu. Dapat anugerah ini pun saya dah bersyukur,” tegasnya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya mengeni perancangan selepas menang, Aliff berkata sebagai tanda kesyukuran, dia merancang untuk mengadakan majlis doa selamat.
“Sejujurnya saya akan buat doa selamat, imsya-Allah. Pada orang lain mungkin anugerah ini biasa tetapi untuk orang macam saya, nak dapat highlight macam ini bukan senang.
“Saya berada dalam industri menjual ini sudah hampir 20 tahun, memang saya teringin nak dapat anugerah, ini bukan perkara yang lucu.
“Walaupun suara tak sedap, dikecam, dihina tetapi orang yang kecam itu tak dapat anugerah ini, ia memberikan kenangan terindah untuk saya.
“Bukan pasal duit tetapi saya teringin jadi artis, jadi bila dapat anugerah ini pun dah rasa seperti artis dah,” ujarnya.
Untuk info, Aliff dan anaknya, Ammar Ahyan, diumum pemenang kategori sampingan, Ekstra! iaitu Seller Terpaling Popular.
Selain Aliff, kategori Seller Terpaling Popular disaingi Aeril Zafril dan Wawa Zainal, Alha Alfa, Anas Zahrin, Christy Ng, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Khairul Aming, Liana Rosli, Mua Bellaz dan Nubhan.