Penyanyi dan komposer, Allan Anderson akui tidak berniat untuk mengatakan penyanyi, Ziha Salleh tidak boleh menyanyi lagu bergenre balada.
Menerusi satu hantaran di Threads, Allan menjelaskan kenyataannya itu telah disalah tafsir dan menjelaskan maksud sebenar di sebalik pandangannya terhadap hala tuju muzik Ziha.
“Ziha saya rasa awak sudah salah faham dengan apa yang saya katakan sebelum ini. Saya tak maksudkan yang awak tak boleh menyanyi lagu balada semestinya awak boleh.
“Apa yang saya cuba sampaikan adalah awak adalah seorang penyanyi yang unik dan daripada awak masuk ke sesuatu tempat yang sudah banyak penyanyinya lebih baik awak bina sesuatu yang baharu,” katanya.
Tambah Allan lagi, dia melihat potensi besar dalam keunikan suara Ziha yang menurutnya layak diketengahkan dalam genre yang berbeza.
“Awak ada sesuatu yang istimewa yang benar-benar buat awak bersinar. Sebab itu saya hantar kepada awak demo Romansa. Bukan untuk menidakkan bakat awak tapi saya nak bantu awak untuk mula dengan lagu yang hebat dengan genre City Pop yang mana boleh buat awak lebih bersinar,” tambahnya.

Terdahulu, penyanyi Ziha Salleh meluahkan rasa terkilan apabila ada individu yang secara terbuka didakwa telah menegur dan mempersoalkan kemampuannya menyanyikan lagu berentak balada.
Advertisement
Menerusi satu hantaran di media sosial, Ziha mendedahkan bahawa komen tersebut seolah-olah merendahkan bakatnya apabila individu berkenaan mengatakan suaranya tidak sesuai atau tidak layak menyanyikan lagu bergenre itu.