Kumpulan Alpha, meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan iklan televisyen (TVC) Raya iaitu Bila Bersama Lagi Jadi terbitan Astro tahun ini.
Menurut Ariel Fesol, peluang itu merupakan satu pengalaman bermakna buat mereka sebagai pendatang baharu dalam industri hiburan tempatan.
“Pertama sekali, Alhamdulillah kami diberikan kepercayaan untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan TVC Raya Astro tahun ini. Sebagai pendatang baharu dalam industri, kami rasa sangat gembira apabila diberi peluang untuk berdiri dan berkongsi frame bersama selebriti A-List di Malaysia,” katanya kepada Gempak.
Tambah Ariel, pengalaman berlakon dalam iklan berkenaan turut memberi peluang untuk belajar daripada pelakon-pelakon senior yang banyak membantu sepanjang proses penggambaran.
“Kami rasa Alpha sudah memberikan yang terbaik. Hasilnya pun kita dapat lihat tadi. Banyak juga bimbingan yang kami terima daripada pengarah, termasuk Abang Hairul serta para pelakon senior yang banyak memberi tunjuk ajar supaya kami nampak lebih baik dalam setiap babak,” jelasnya.
Sementara itu, Araff juga mengakui proses penggambaran agak mencabar kerana mereka perlu menguruskan jadual yang padat.
Menurutnya, sesi penggambaran berlangsung sehingga awal pagi sebelum mereka perlu menyambung kerja bagi projek lain.
“Penggambaran berlangsung sampai pukul empat atau lima pagi. Selepas itu kami perlu sambung lagi penggambaran untuk projek telemovie. Jadi memang ada sedikit kesukaran di situ.
“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat menjayakan kedua-dua projek dengan baik juga, hasil bantuan label kami serta pihak produksi yang banyak memudahkan kerja kami,” ujarnya.
Selain Alpha, iklan Bila Bersama Lagi Jadi arahan Hyrul Anuar turut dibintangi oleh Adlin Aman Ramlie, Faizal Husien, Bell Ngasri, Noryn Aziz, Sharifah Sahirah, Auddra Zulkifly, dan Azhan Rani.