Sekilas
- Amad Dayyan tidak berkecil hati dengan gurauan rakan sekolah mengenai tindakannya menyanyi sambil memegang bahu dan menganggapnya sebagai perkara biasa.
- Dia memilih untuk kekal positif dan fokus pada kerjaya seni walaupun ada dakwaan pihak yang cemburu terhadap pencapaiannya.
- Insiden memegang bahu berlaku selepas konsert final program apabila Amad dikatakan mengalami gangguan mistik yang menjejaskan persembahannya.
Penyanyi remaja, Amad Dayyan, tidak berkecil hati dengan gurauan segelintir rakan sekolah yang mengusiknya berhubung tindakannya menyanyi sambil memegang bahu.
Tidak cepat melatah, Amad yang juga merupakan anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini menganggap gurauan rakan-rakannya itu sebagai perkara biasa.
“Suasana di sekolah baik dan semua berjalan seperti biasa. Ada yang bergurau meminta saya supaya tidak menyanyi sambil memegang bahu.
“Saya tidak ambil hati. Malah, saya ketawa bersama mereka kerana saya sendiri melihatnya sebagai sesuatu yang lucu,” ujarnya.
Saerah berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single pertamanya berjudul Mendewasa bertempat di Qeqoz Gifts & Cafe, Gombak pada Selasa.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat pihak yang cemburu dengan pencapaiannya, penyanyi berusia 13 tahun itu memilih untuk kekal positif dan fokus kepada perjalanan seni.
“Saya melihat perkara itu dari sudut positif untuk memotivasikan diri dan kerjaya saya. Saya tidak kisah apa yang diperkatakan orang.
“Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya pun tidak membaca komen. Jika ada kritikan, ibu akan menanganinya.
“Saya menjalankan tugas seperti biasa sebagai penyanyi. Walaupun sedikit sebanyak boleh mengganggu emosi, saya memilih untuk tidak memikirkan sangat dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Untuk info, usikan berkaitan bahu itu tercetus selepas insiden konsert final sebuah program apabila Amad didakwa mengalami gangguan mistik sehingga persembahannya terjejas.
Ketika kejadian, Amad dilihat memegang bahunya yang terasa ‘berat sebelah’, sekaligus mengundang perhatian penonton serta kebimbangan orang ramai.