Sekilas
- Amar Baharin menegaskan dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap manusia dan kerjayanya demi mengelakkan kekecewaan.
- Dia percaya pada usaha dan berkarya dengan sebaik mungkin, sambil menyerahkan hasil kepada Allah SWT melalui konsep tawakal dalam Islam.
- Amar berdoa agar usahanya membawa kebaikan dan rezeki yang halal, serta dijauhkan daripada sifat riak, putus asa, dan kecewa.
Pelakon, Amar Baharin menegaskan dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap manusia, termasuklah perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
Menerusi perkongsian di Threads, Amar berkata, kenyataan itu bukanlah bermaksud dia tidak mempercayai atau menghargai orang lain, sebaliknya sedar bahawa hati manusia boleh berubah dan boleh mengundang kekecewaan.
“Aku belajar untuk tidak terlalu meletakkan harapan kepada manusia. Bukan kerana tidak percaya atau tidak menghargai mereka, tetapi kerana aku sedar, hati manusia boleh berubah dan harapan yang terlalu tinggi kadangkala mengundang kecewa.
“Begitu juga dalam kerjaya. Setiap kali ada karya baru yang bakal ditayangkan, aku tidak pernah meletakkan harapan semua orang mesti menonton hanya kerana aku mempromosikannya.
“Tugas aku adalah berusaha, berkarya dan menyampaikan yang terbaik. Kalau ceritanya baik, insya-Allah penonton akan tertarik dengan sendirinya. Bukan kerana diminta, tetapi kerana mereka benar-benar ingin tahu dan menikmati jalan ceritanya,” tulisnya.
Dalam masa sama, Amar memaklumkan dia percaya dan yakin pada usaha, namun tidak mahu terlalu bergantung pada hasil yang diperoleh.
Jelasnya, ajaran Islam turut menekankan seseorang manusia itu untuk berusaha sebaik mungkin sebelum bertawakal kepada Allah SWT.
“Aku percaya pada usaha, tetapi aku tidak menggantungkan hati pada hasil. Kerana dalam Islam, kita diajar untuk berikhtiar sebaik mungkin, kemudian bertawakal kepada Allah.
“Tawakal bukan bermaksud berhenti berharap atau berusaha, tetapi menyerahkan natijah kepada Allah setelah melakukan apa yang termampu.
“Manusia hanyalah asbab. Allah yang menentukan segala-galanya,” tambahnya.
Di akhir perkongsian, pelakon drama Akadku Yang Terakhir ini menitipkan doa agar setiap usaha yang dilakukan membawa kebaikan, selain menjadi asbab kepada rezeki yang halal dan diberkati semua pihak.
Dia juga berharap agar dirinya dijauhkan daripada sifat riak ketika menerima pujian, berputus asa ketika diuji serta terlalu kecewa jika sesuatu perkara tidak berjalan seperti dirancang.
Sumber: Threads