Personaliti media sosial, Ameera Khan akhirnya tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan mengatakan dirinya tidak sensitif terhadap isu Palestin.
Ameera atau nama sebernarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, berkata, tindakan memilih untuk berdiam sebelum ini tidak bermakna dirinya mengambil pendekatan berkecuali.
Advertisement
“Hati dan doa saya sentiasa bersama rakyat Palestin serta mereka yang berada di atas kapal Sumud Flotilla.
“Ketahuilah bahawa saya berdiam bukanlah tanda berkecuali dan kerja saya tidak pernah mencerminkan pendirian saya terhadap kemanusiaan.
“Perkara itu tidak mengubah apa yang saya percaya atau siapa yang saya sokong. Tanggungjawab kerja saya tidak seharusnya disalah erti sebagai ketidakpedulian.
“Kepercayaan dan sisi kemanusiaan saya sentiasa bersama Palestin,” katanya menerusi satu hantaran dalam InstaStory pada Sabtu.
Malah menerusi hantaran yang sama, adik kepada Neelofa itu meluahkan hasratnya untuk berbuat sesuatu bagi membantu perjuangan rakyat Palestin.
“Sama seperti yang lain, saya iuga berharap dapat melakukan sesuatu yang lebih. Buat masa ini, saya berdoa untuk semua yang berada di atas kapal Sumud Flotilla, berdoa untuk Palestin, untuk kebebasan, maruah dan hak mereka untuk hidup dalam keamanan,” luahnya.

Untuk info, pada Khamis, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu), penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga), Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma), Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Selain itu, Razali Awang (kapal Inana), pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno), PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella), Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela Mandla Mandela.
Kesemua aktivis sudah dipindahkan dari Pelabuhan Ashdod ke pusat tahanan paling besar dan ketat, Penjara Ktzi’ot di Gurun Negev.