Sekilas
- Amelia Henderson berasa bangga dapat bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Fiziwoo, untuk koleksi terbaru di Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
- Amelia memuji koleksi tersebut yang bukan sahaja cantik dan mewah, tetapi juga selesa dan mudah digayakan, serta mencerminkan budaya Malaysia dan Nusantara.
- Duo pereka Fizi dan Kai mengesahkan Amelia adalah muse mereka dan merancang untuk mempereratkan kerjasama yang bermula sejak koleksi Raya lalu.
Pelakon, Amelia Henderson meluahkan rasa banga dapat bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Fiziwoo untuk koleksi terbaharu mereka untuk Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).
Menurut Amelia, peluang bekerjasama dengan pasukan kreatif berkenaan merupakan satu penghormatan besar buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila dapat menyaksikan sendiri usaha dan kasih sayang yang dicurahkan dalam menghasilkan setiap karya.
“Saya sangat bangga dengan mereka. Koleksi ini sangat menakjubkan. Bagi saya, ia satu penghormatan yang sangat besar. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada mereka kerana saya tidak pernah melihat sebuah pasukan bekerja sekuat ini.
“Saya rasa perkara seperti ini mungkin tidak begitu kelihatan di sebalik tabir. Mereka mencurahkan begitu banyak kasih sayang dan seni dalam setiap hasil kerja. Apabila melihat hasil akhirnya, kita boleh tahu bahawa seseorang menghasilkan karya ini dengan penuh kasih sayang.
“Sebagai seorang yang berada dalam bidang kreatif, dapat bekerja dengan pasukan yang mencurahkan begitu banyak daripada diri mereka ke dalam apa yang dilakukan adalah satu penghormatan dan ia akan sentiasa menjadi satu penghormatan buat saya. Saya sangat gembira dapat berada di sini bersama mereka. Terima kasih kerana menjemput saya," katanya kepada Gempak. 
Dalam pada itu, Amelia turut berkongsi pandangannya mengenai busana yang diperagakan, yang disifatkannya bukan sahaja cantik dan mewah malah selesa serta mudah digayakan.
“Tanggungjawabnya memang berat untuk memastikan anda kelihatan cantik sentiasa, tetapi sebenarnya busana ini sangat selesa dan mudah dipakai.
“Lihat sahaja. Ia sangat Malaysia, sangat mencerminkan budaya kita. Ia sangat Nusantara, cantik dan mewah. Saya rasa mereka sedang mengingatkan semua orang bahawa kita sepatutnya berbangga dengan budaya yang kita ada.
“Saya benar-benar bangga melihat mereka dan bangga menjadi sebahagian daripada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, duo pereka Fizi dan Kai mendedahkan Amelia sememangnya menjadi antara figura penting yang memberi inspirasi kepada koleksi mereka, malah hubungan kerja yang lebih rapat bersama aktres itu telah dirancang sejak koleksi Raya sebelum ini.
“Sebenarnya, Amelia Henderson merupakan muse kami. Kami sudah memutuskan untuk bekerja bersama dengan lebih rapat sejak koleksi Raya.
“Kalau anda masih ingat, ‘Linda Carter’ merupakan debut pertama Amelia bersama Fiziwoo. Jadi malam ini kami cuba mengembangkan lagi kerjasama tersebut. Kami mahu terus bekerja bersama dengan lebih rapat dan, sudah tentu, berharap dapat membawa kerjasama ini ke tahap yang lebih besar,” jelas mereka.