Sekilas
- Amin Othman dan Abid Othman anggap program Meet Your Idol sebagai platform penting untuk pempengaruh media sosial menunjukkan kreativiti dan bakat mereka dalam industri hiburan.
- Mereka menghargai peluang ini kerana ia membuka perspektif baharu bahawa pempengaruh juga boleh menghasilkan kandungan edutainment yang bermakna kepada masyarakat.
- Abid berharap dapat meneruskan kerjasama dengan menghasilkan lebih banyak projek DIY yang memberi manfaat kepada komuniti serta menggabungkan aktiviti kebajikan untuk kesedaran alam sekitar.
Pempengaruh kembar, Amin Othman dan Abid Othman menyifatkan peluang menyertai program Meet Your Idol sebagai satu pengalaman bermakna yang membuka ruang lebih luas buat mereka mengetengahkan kreativiti dalam industri hiburan.
Menurut Amin dan Abid, program tersebut memberi peluang kepada golongan pempengaruh media sosial untuk memperkenalkan kebolehan serta idea kreatif kepada masyarakat.
"Secara jujurnya, kami melihat Meet Your Idol sebagai sebuah program yang sangat bagus untuk mencungkil kreativiti rakyat Malaysia.
"Program ini memberikan peluang kepada kami untuk mengetengahkan bakat dan memperkenalkan kreativiti kepada masyarakat yang lebih luas.
"Kami juga sangat berterima kasih kepada pihak Meet Your Idol kerana sudi menjemput kami menyertai program ini. Sebelum ini, kami pernah merasakan diri agak kecil kerana hanya bergelar pempengaruh media sosial.
"Namun, apabila diberikan peluang seperti ini, ia membuka perspektif dan pemikiran baharu kepada kami. Rupa-rupanya, pempengaruh juga mempunyai ruang untuk mengetengahkan kreativiti serta menghasilkan kandungan berbentuk pendidikan dan hiburan atau edutainment menerusi industri hiburan.
"Bagi kami, peluang seperti ini sangat bermakna kerana membuktikan bakat pempengaruh juga mempunyai nilai dan tempat tersendiri," kata mereka.
Dalam pada itu, Abid turut menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama seumpama itu, malah berharap dapat menghasilkan lebih banyak projek DIY yang memberikan manfaat kepada komuniti.
"Kami memang bersedia dan mahu meneruskan kerjasama seperti ini. Kalau boleh, kami mahu menghasilkan lebih banyak produk DIY yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti berbanding hanya seorang individu.
"Sebagai contoh, kami boleh pergi ke kawasan pantai dan menghasilkan sesuatu kemudahan atau produk DIY untuk kegunaan orang awam. Bagi kami, projek seperti itu sangat menarik," ujar Abid.
Malah, mereka turut menyimpan hasrat untuk menggabungkan aktiviti kebajikan dengan projek DIY bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar.
Sebagai contoh, aktiviti membersihkan pantai bukan hanya tertumpu kepada usaha mengutip sampah, sebaliknya bahan buangan yang dikumpulkan boleh digunakan semula untuk menghasilkan sesuatu yang lebih bermanfaat.
Pendekatan itu, menurut mereka, membuka peluang untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi masyarakat, mencari penyelesaian serta menghasilkan inovasi baharu.