Sekilas
- Pelakon Amir Ahnaf buat kejutan dengan persembahan single sulungnya, Gadis Melayu Terakhir, di Watch Party Cinta Dalam Sekam di LaLaport Bukit Bintang City Centre.
- Lagu tersebut hasil ciptaan bersama Seow Seng Tack, Aziz Harun, Mohsein Kush dan Amir sendiri, menandakan langkah baru Amir dalam bidang muzik.
- Watch Party turut memberi peluang peminat menonton episod terbaru dan berinteraksi dengan barisan pelakon siri nombor satu Viu Malaysia, Cinta Dalam Sekam.
Pelakon, Amir Ahnaf mencuri perhatian apabila membuat kejutan dengan mempersembahkan single sulungnya yang berjudul Gadis Melayu Terakhir di hadapan lebih 200 peminat yang hadir pada Watch Party episod 11 Viu Original Cinta Dalam Sekam di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kemunculan Amir dengan lagu tersebut disambut penuh teruja sekali gus menjadi antara momen yang paling mencuri perhatian sepanjang acara berkenaan.
Gadis Melayu Terakhir menandakan langkah baharu Amir dalam bidang muzik selepas sebelum ini lebih dikenali menerusi lakonan.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan dan penulisan lirik oleh Seow Seng Tack, Aziz Harun, Mohsein Kush serta Amir sendiri.
Dalam pada itu, Watch Party berkenaan turut memberi peluang kepada peminat untuk menonton episod terbaharu Cinta Dalam Sekam bersama barisan pelakon selain beramah mesra dan berinteraksi secara lebih dekat.
Antara yang hadir termasuk Siti Khadijah Halim, Haidar Hasanudin, Razak Ahmad, Riz Amin, Husna Mustaffa, Zarynn Min, Mas Anizan, Azhar Amir, Yuna Rahim, Ainina Ahmad B, Aaliyah Natasha, Shryrim Husni dan Lan Siro.
Cinta Dalam Sekam juga kekal sebagai siri nombor satu di Viu Malaysia sepanjang enam minggu bersiaran sejak episod pertamanya ditayangkan pada 16 Julai lalu.
Menjelang episod akhir, jalan cerita dan perkembangan watak Laila, Imran serta Shafiq turut mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan penonton, khususnya di Threads.
Berlatarbelakangkan era 1980-an, Cinta Dalam Sekam diarahkan oleh Feroz Kader, ditulis oleh Eenaz Mokhtar dan diterbitkan oleh Global Film Station Sdn. Bhd.
Kesemua episod Cinta Dalam Sekam kini boleh distrim secara eksklusif di Viu.