Sekilas
- Amir Ahnaf menegaskan orang ramai perlu hormati minat dan gaya hidup orang lain tanpa menghakimi, termasuk mereka yang aktif dalam sukan lasak Hyrox.
- Beliau memilih Hyrox kerana risiko kecederaan yang rendah berbanding ragbi, sambil mengekalkan ketahanan fizikal melalui pergerakan fungsian dan larian.
- Amir berkongsi latar belakangnya sebagai atlet sejak kecil dan berjaya menamatkan cabaran Hyrox Singapura dalam masa 1 jam 38 minit 59 saat.
Pelakon, Amir Ahnaf memberikan pandangannya mengenai kecaman yang dilemparkan segelintir netizen terhadap individu yang aktif menyertai sukan lasak Hyrox sejak akhir-akhir ini.
Menurut Amir atau nama lengkapnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, orang ramai sewajarnya menghormati minat serta gaya hidup orang lain tanpa perlu menghakimi atau mengecam.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Kalau nak bersukan, pergilah bersukan, terpulanglah kalau seseorang itu pandai bersukan.
“Tetapi kalau orang itu suka makan aiskrim, biarlah dia makan. Kenapa perlu kecam dia?
“Begitu juga kalau dia suka makan roti canai di kedai mamak, malah kalau dia mahu makan Nobu (restoran Jepun) atau makanan yang mahal sekalipun, itu suka hati dialah. Tidak menggunakan duit awak pun,” katanya kepada Gempak.
Amir berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana What’s Next On Viu Cinta Dalam Sekam, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Kahar: Kapla High Council itu turut menjelaskan mengapa dia kini memilih Hyrox berbanding sukan ragbi yang pernah diceburinya sebelum ini.
Menurut Amir, faktor risiko kecederaan yang tinggi dalam ragbi membuatkan dia mengambil keputusan untuk beralih kepada sukan yang lebih selamat, namun masih mampu menguji ketahanan fizikal.
“Sukan tetap sukan, mungkin kalau menepati minat awak, gerak saja. Saya nak main ragbi dah tak boleh sebab takut cedera atau patah tangan.
“Kalau nak jadi pemain ragbi, badan awak mestilah terbiasa dengan aksi lasak. Jadi kita ambil inisiatif lain dengan masuk Hyrox.
“Hyrox tak ada risiko, hanyalah pergerakan fungsian yang mudah. Macam ‘lunges’, kita hari-hari bangun dari kerusi atau katil.
“Cuma perbezaannya kita buat setelah berlari satu kilo setiap satu sesi,” ujarnya.
Ditanya mengenai sumber kekuatannya untuk menyertai sukan Hyrox itu, Amir berkongsi bahawa dia sememangnya merupakan seorang atlet yang aktif sejak di bangku sekolah lagi.
“Kekuatan itu saya dapat daripada darah orang Terengganu, gurau saja. Sebenarnya dulu saya main ragi untuk pasukan Terengganu dan dipilih sertai Sukma serta mewakili Malaysia.
“Saya sebenarnya memang seorang atlet dari kecil lagi. Saya masuk Hyrox pun sebab saya dah penat sakit selama bertahun-tahun jadi saya rasa saya berhak untuk jadi sihat,” ulasnya.
Sebelum ini, Amir berjaya menamatkan cabaran Hyrox Singapura dengan catatan masa 1 jam 38 minit 59 saat.
Selain Amir, beberapa selebriti lain seperti Hairul Azreen, Ikmal Amry, Adriana Adnan, Hawa Rizwana, Aedy Ashraf dan Meerqeen turut aktif menyertai sukan berkenaan.
Bagaimanapun, Hyrox sebelum ini menjadi topik hangat apabila ada segelintir netizen melabelkannya sebagai sukan golongan T20 kerana kos penyertaannya yang tinggi, malah ada yang menyamakannya dengan acara sukaneka sekolah.