Sekilas
- Ammar Nazhan jelaskan QR code yang dipaparkan semasa siaran langsung majlis perkahwinannya adalah untuk memudahkan pemberian hadiah digital dari mereka yang tidak dapat hadir.
- Ammar tegaskan tiada paksaan untuk memberikan wang dan paparan QR yang besar adalah disebabkan kekangan teknikal, bukan untuk tarik perhatian penonton.
- Ammar juga memohon maaf atas salah faham yang timbul dan berharap orang ramai tidak buat andaian negatif mengenai niatnya.
Personaliti media sosial, Ammar Nazhan tampil memberikan penjelasan berhubung isu kod respons pantas (QR) yang dipaparkan ketika sesi siaran langsung majlis perkahwinannya di YouTube sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran di Threads, Ammar menjelaskan paparan QR berkenaan bertujuan untuk memudahkan ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan yang ingin memberikan hadiah perkahwinan secara digital, terutama kepada mereka yang tidak berkesempatan menghadiri majlis tersebut.
“Pertama sekali, QR tersebut diletakkan bagi memudahkan ahli keluarga, sahabat, kenalan dan sesiapa sahaja yang ingin memberikan hadiah perkahwinan secara digital, terutamanya mereka yang tidak berkesempatan hadir tetapi mengikuti majlis melalui siaran langsung YouTube Am.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran am untuk mewajibkan sesiapa memberikan wang. Hadiah perkahwinan adalah pemberian ikhlas, bukannya satu kewajipan.
“Berkenaan saiz QR yang agak besar dan dipaparkan sepanjang siaran langsung, perkara tersebut berlaku disebabkan kekangan teknikal dalam pengendalian paparan livestream.
“Ia bukan disengajakan untuk menarik perhatian penonton supaya memberikan wang,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ammar menerusi hantaran yang sama mengakui paparan QR tersebut sebenarnya boleh diuruskan dengan lebih baik.
Malah Ammar juga turut memohon maaf sekiranya perkara itu menimbulkan salah faham atau menyebabkan sesetengah pihak berasa kurang selesa.
“Am akui paparan tersebut boleh dibuat dengan lebih baik dan am mohon maaf sekiranya ia menimbulkan salah faham atau menyebabkan sesetengah pihak kurang selesa.
“Namun, am berharap orang ramai tidak terus membuat andaian bahawa am meminta-minta wang daripada penonton hanya kerana adanya QR tersebut.
“Bagi am, doa yang baik untuk rumah tangga kami jauh lebih bermakna daripada sebarang pemberian wang.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan meraikan hari bahagia kami. Am amat menghargainya,” tulisnya.

Terdahulu, seorang individu meluahkan rasa kurang selesa dengan tindakan Ammar yang memaparkan kod QR ketika sesi siaran langsung perkahwinannya bersama Elya Maisara di YouTube.
Luahan tersebut kemudiannya menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen memihak dan bersetuju dengan individu berkenaan.
Sumber: Threads @amnazhan