Sekilas
- Amyza Aznan berkongsi anak keduanya, Adrian Adam, masih menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser tulang dengan tempoh rawatan yang panjang.
- Adrian seorang yang pendiam dan suka memendam perasaan, walaupun sering menangis secara senyap kerana kesakitan yang dialami.
- Ketumbuhan besar menghalang Adrian daripada aktif dalam nyanyian, termasuk peluang berduet dengan Amyza di konsert akhir Kilauan Emas Selebriti 2026.
Pelakon, Amyza Aznan berkongsi perkembangan terkini anak keduanya, Adrian Adam yang kini masih menjalani rawatan kemoterapi bagi merawat kanser tulang yang dihidapinya.
Menurut Amyza, Adrian masih mempunyai tempoh rawatan yang panjang dan perlu melalui beberapa lagi kitaran kemoterapi.
Ujar Amyza, dia berharap ikhtiar yang dilakukan itu dapat membantu melawan kanser yang dihidapi Adrian serta mengecilkan ketumbuhan tersebut.
“Sekarang ini dia tengah kemoterapi. Ada banyak lagi dan panjang lagi masa dia. Ada banyak lagi cycle yang dia kena lalui.
“Saya harap kemoterapi ini boleh membantu mengecilkan ketumbuhan dia dan bagi hilang terus,” katanya kepada Gempak.
Amyza berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas konsert akhir program Kilauan Emas Selebriti 2026 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Sabtu.
Berkongsi lanjut, Amyza memaklumkan Adrian sememangnya seorang yang tidak gemar berkongsi kesulitan yang dilaluinya, malah lebih banyak memendam perasaan.
Walau bagaimanapun, sebagai ibu, Amyza berkata nalurinya tetap dapat merasakan apabila anaknya itu sedang menyembunyikan kesakitan yang dialami.
“Ian (Adrian) memang daripada dulu sebenarnya. Kalau tengok Instagram dia sebelum dia sakit pun, ada benda-benda penting saja baru dia kongsi. Kalau tak, dia memang tak akan kongsi.
“Saya pun tak tahu dan tak tanya pun kenapa dia tak nak kongsi keadaan dia.
“Tetapi banyak kali saya ternampak dia menangis. Menangis yang bukannya teresak-esak tetapi menangis yang diam dan senyap.
“Minggu lepas, saya nak naik ambil kad. Sebenarnya ada saja kad lain, tapi saya nak balik juga ambil kad. Dia tengah seorang diri di rumah.
“Saya naik, saya nampak dia tengah tekup muka dekat bantal, dia menangis. Punyalah dia tak nak saya tahu yang dia sakit,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Amyza memaklumkan keadaan Adrian ketika ini turut membataskan aktivitinya termasuk dalam bidang nyanyian yang sangat diminatinya.
“Dia nak menyanyi, tetapi disebabkan saiz ketumbuhan yang besar itu sedikit menyusahkan serta menyakitkan dia, itu yang buat dia tak nak buat apa-apa pun.
“Dia memang harap ketumbuhan itu kecut. Dan kalau ikutkan, konsert akhir ini sebenarnya dia adalah antara senarai nama penyanyi untuk saya berduet bersama.
“Sepatutnya dia berduet dengan saya di final ini. Tapi itulah, dia cakap, ‘Mami, kalau benda ni kecut sebelum final, dia akan perform dengan saya’. Tapi Allah kata lain. Jadi tak adalah,” tambahnya.