Sekilas
- Penyanyi Azmi Saat berkongsi perkembangan anak tunggalnya, Khalisa Insyirah, yang mengalami kelewatan pertuturan walaupun sudah menjalani terapi selama setahun.
- Khalisa kini mengikuti program intervensi awal dan menunjukkan sedikit perkembangan, namun masih belum mampu bercakap dan meniru bunyi.
- Azmi dan isteri menghadapi cabaran melatih anak di rumah kerana kekurangan penglihatan dan kos pembelajaran yang tinggi, menyebabkan mereka menghantar Khalisa ke sekolah tiga kali seminggu.
Penyanyi Azmi Saat berkongsi perkembangan anak tunggalnya, Khalisa Insyirah yang mengalami kelewatan pertuturan atau ‘speech delay’.
Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Muhammad Saat, 38, berkata anaknya itu masih belum boleh bercakap meskipun sudah menjalani sesi terapi selama setahun.
“Anak saya masih belum boleh bercakap lagi, dia ‘speech delay’. Kami dah hantar terapi selama setahun, rawatan seminggu sekali,” katanya.
Azmi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Sesi Santai Media bagi memperdengarkan lagu solo terbaharunya berjudul Satu di Redbox Karaoke The Gardens, baru-baru ini.
Menurutnya, Khalisa juga telah dihantar ke program intervensi awal sejak dua bulan lalu dan menunjukkan sedikit perkembangan walaupun belum mampu bertutur.
“Baru dua bulan lepas kami hantar dia ke intervensi awal, ada nampak perkembangan cuma bercakap itu belum lagi.
“Dia masih baru nak meniru pergerakan,” ujarnya.
Tambah Azmi, guru yang mengendalikan program tersebut memaklumkan proses pertuturan memerlukan kanak-kanak meniru bunyi terlebih dahulu sebelum boleh bercakap.
“Cikgu dia kata kalau nak bercakap, awalnya dia kena tiru bunyi dulu, tapi dia belum sampai ke tahap itu lagi,” jelasnya.
Dalam masa sama, Azmi berkata anaknya juga masih belum dapat memahami arahan sepenuhnya meskipun usianya kini mencecah dua tahun setengah.
“Kalau ikutkan usia dia dah boleh faham dan bercakap, tapi dia masih belum.
“Tapi kalau saya panggil atau ajak ke mana-mana, dia faham dan ikut,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi mengakui dia dan isteri berdepan kekangan untuk melatih anak di rumah disebabkan keadaan mereka sebagai ibu bapa yang kurang penglihatan.
“Dekat rumah kami tak buat latihan sebab kami bekerja dan sebagai ibu bapa yang tak nampak, agak terhad untuk mengajar dia.
“Banyak perkara seperti kenal warna atau gambar kami tak dapat ajar, sebab itu kami hantar ke sekolah,” ujarnya.
Menurutnya, kos pembelajaran yang tinggi turut menjadi cabaran apabila mereka hanya mampu menghantar Khalisa ke kelas sebanyak tiga kali seminggu dengan tempoh tiga jam sehari.
Untuk rekod, Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazira pada 2011 dan pasangan itu pernah dikurniakan seorang anak lelaki, Allahyarham Khairul Afnan yang meninggal dunia pada 30 September 2021 akibat kegagalan fungsi otak.
Pada November 2023, Azmi dan isteri sekali lagi dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Khalisa Insyirah.