Sekilas
- Apple Martin, anak kepada Chris Martin dan Gwyneth Paltrow, didakwa dibuang sekolah kerana buli oleh seorang pengguna media sosial.
- Apple menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah dibuang sekolah atau terlibat dalam aktiviti buli.
- Apple kini melanjutkan pelajaran di Universiti Vanderbilt dalam bidang undang-undang, sosial dan sejarah.
Nama anak pasangan vokalis Coldplay, Chris Martin dengan Gwyneth Paltrow, Apple tiba-tiba menjadi perhatian selepas didakwa telah dibuang daripada sekolah kerana melakukan aktiviti buli.
Dakwaan tersebut dibuat oleh seorang pengguna media sosial. Tidak mahu dakwaan tersebut menjadi ‘barah’, Apple pantas membuka mulut.
Mengaku tidak suka untuk menjawab apapun dakwaan tak berasas di media sosial, namun kata Apple dia perlu bersuara untuk isu yang ditimbulkan pada kali ini.
“Saya sebenarnya tidak ingin menjawab. Tapi naratif cerita ini sangat salah.
“Saya tidak pernah dibuang sekolah atau melakukan buli. Atau dibuang sekolah kerana melakukan kegiatan membuli.
“Saya faham internet adalah tempat semua orang bercakap dan memberi pendapat. Saya tahu ada orang tidak menyukai saya dan saya okay. Tapi naratif cerita ini tidak benar,” tulis Apple di Instagram seperti dilaporkan People.

Apple, 21, diketahui sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Vanderbilt di Nashville, dalam jurusan berkaitan undang-undang, sosial dan sejarah.